SURAT | Saya merujuk kepada laporan media berhubung tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah mengeluarkan kompaun ke atas sejumlah besar penumpang bas ekspres kerana tidak memakai tali pinggang keledar:
Walaupun usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya wajar dipuji, pendekatan JPJ yang terus mengeluarkan kompaun kepada penumpang bas tanpa kempen pendidikan menyeluruh terlebih dahulu amat dikesali.
Kompaun bukan sekadar amaran ringan tetapi ia membawa beban kewangan. Malah dalam banyak kes, penerima kompaun perlu hadir ke mahkamah - proses yang membebankan terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar atau pelajar.
Lebih mengecewakan, operasi khas ini dilaksanakan tanpa disertai kempen kesedaran yang mencukupi.
Jika dasar penting seperti pemasangan ‘speed limiter’ untuk bas ekspres pun mengambil masa dan rundingan panjang, mengapa dalam isu tali pinggang keledar ini JPJ memilih pendekatan mendadak?
Kita harus bertanya secara terbuka:
Berapa kali JPJ menganjurkan kempen khusus di media arus perdana dan media sosial mengenai pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang bas?
Adakah penumpang dimaklumkan dengan jelas sebelum perjalanan bermula?
Adakah pengusaha bas diberi tanggungjawab untuk mengingatkan dan membantu penumpang mematuhi undang-undang ini?
Sebarang inisiatif keselamatan haruslah melibatkan pendidikan, advokasi dan penerangan secara konsisten, bukan sekadar penguatkuasaan bersifat menghukum.
Justeru, saya menggesa agar:
JPJ menghentikan serta-merta pengeluaran kompaun terhadap penumpang sehingga pendidikan awam dilaksanakan secara menyeluruh.
Kempen kesedaran berskala besar dilancarkan melalui media massa, media sosial dengan kerjasama bersama pengusaha bas serta agensi lain seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans).
Syarikat bas diwajibkan memberi pengumuman atau peringatan keselamatan sebelum perjalanan bermula seperti amalan industri penerbangan.
Keselamatan jalan raya adalah matlamat bersama. Namun cara pelaksanaannya mestilah adil, mendidik dan berhemah.
Undang-undang yang dihormati lahir daripada kefahaman, bukan ketakutan terhadap kompaun.
MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR adalah bekas penyelidik pengangkutan awam untuk kerajaan Terengganu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

