malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | Kritikan keras terhadap tarif elektrik baru
ADS

Berikut rumusan hasil bengkel biro ekonomi parti Putra mengenai kritikan keras terhadap tarif elektrik baru (RP4):

‘Adil dan progresif’ sekadar slogan

Realitinya, golongan sederhana terperangkap di tengah – tidak layak untuk bantuan, tetapi juga tidak mampu menyerap beban kos. Ini bukan keadilan, tetapi diskriminasi sistemik yang disahkan dasar.

Peniaga kecil ditekan tanpa belas

Tarif yang melambung menambahkan luka lama pasca pandemik. Kerajaan seolah-olah menghukum sektor akar umbi yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.

Bil berubah-ubah seperti perjudian

AFA menjadikan bil bulanan tidak menentu. Rakyat yang mahukan kestabilan kini dipaksa hidup dengan ketidaktentuan seperti peniaga saham yang berjudi dengan nasib.

Golongan miskin terus dinafikan

Sistem bantuan hanya untuk yang tersenarai dalam e-Kasih adalah satu bentuk pengabaian terang-terangan terhadap golongan memerlukan yang terlepas radar kerajaan.

Penurunan kadar asas hanya umpan kosong

Apa yang diberi di satu tangan, diambil semula dengan caj tersembunyi dan kadar blok seterusnya yang lebih tinggi. Ini manipulasi yang memperdaya rakyat.

Bil elektrik makin kabur dan mengelirukan

Struktur tarif terlalu kompleks. Ia seperti direka untuk menyembunyikan beban sebenar di sebalik istilah teknikal yang tidak mesra pengguna.

Insentif seperti jerat halus

Sikit sahaja penggunaan melepasi ambang, terus dihukum dengan kadar tinggi. Ini bukan galakan, ini taktik memerangkap pengguna biasa dalam sistem yang menindas.

TOU hanya sesuai untuk ‘rakyat sempurna’

Tidak semua orang boleh ubah rutin hidup ikut jam. TOU hanya menguntungkan segelintir, dan langsung tidak mesra kepada majoriti pengguna yang bergantung pada waktu tetap.

Industri dicekik, rakyat terasa tempias

Kos tinggi menekan pengilang, mengurangkan pekerjaan, dan menaikkan harga barang. Tarif ini bukan sekadar isu tenaga, tetapi krisis ekonomi berganda yang menjalar.

Pelabur lari, daya saing tergugat

Dengan tarif yang tinggi, Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang tidak kompetitif. Slogan mesra pelabur tidak bermakna jika realiti kos menakutkan mereka.

Kos hidup rakyat melonjak lagi

Sektor kesihatan dan pendidikan swasta akan naikkan caj akibat tarif. Sistem awam tak mampu tampung. Akhirnya, rakyat terus menanggung akibat dasar yang berat sebelah ini dan jauh dari adil.

Setelah beberapa kali bertemu dalam perbincangan bengkel, rumusannya indah khabar dari rupa.

Kos sara hidup rakyat terus meningkat dan pemimpin terus dengan retorik kosong. Awan mendung sudah tiba di langit Malaysia.


IBRAHIM ALI ialah presiden parti Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen