Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan dana politik. Cadangan mengenainya telah dibincangkan di peringkat kerajaan sebelum ini tetapi belum ada rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen.
Parti-parti politik bergantung kepada sumbangan dana daripada para penyumbang untuk membiayai pentadbiran dan kegiatan parti termasuk kempen pilihan raya. Perbelanjaannya besar.
Parti politik bukan entiti perniagaan yang boleh menjana pendapatan sendiri. Yuran ahli juga tidak cukup untuk menampung perbelanjaan parti.
Justeru, semua parti politik bergantung kepada sumbangan daripada ahli perniagaan, tokoh korporat, hartawan dan orang ramai untuk membiayai kegiatannya.
Tidak ada undang-undang yang menghalang parti politik daripada menerima sumbangan dana politik.
Tetapi di negara kita terdapat ahli-ahli politik yang didakwa berhubung penerimaan dan penggunaan dana politik.
Kes Ku Nan dan Syed Saddiq
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa di bawah Kanun Keseksaan atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan. Wang ini dimasukkan ke dalam akaun syarikat yang dimilikinya.
Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi tetapi kemudiannya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan setelah mahkamah mendapati wang tersebut digunakan untuk tujuan kempen Umno dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum PRU14.
Maknanya, tidak salah untuk parti politik atau ahli politik menerima sumbangan daripada ahli perniagaan untuk tujuan dana politik. Ahli perniagaan ini pula mempunyai “urusan” dengan kementerian yang mana ahli politik yang didakwa adalah menteri.
Namun, penerimaan wang daripada ahli perniagaan ini tidak dianggap sebagai “suapan” atau rasuah.
Bekas Menteri Belia dan Sukan dan bekas Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula didakwa di bawah Kanun Kesesaksaan atas kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah berkaitan dana parti.
Wang berjumlah RM1 juta dikeluarkan daripada akaun parti dan disimpan dalam bentuk tunai. Selain itu, wang berjumlah RM100,000 hasil kutipan dana untuk tujuan kempen pilihan raya dipindahkan masuk ke akaun bank peribadinya dan kemudian ke dalam akaun ASB miliknya.
Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah. Tetapi Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya selepas didapati kesemua wang tersebut digunakan untuk tujuan politik. Mahkamah mendapati tidak ada satu sen pun digunakan untuk tujuan peribadi.
Kes ini sekali lagi mengesahkan bahawa sekiranya wang yang diterima oleh ahli politik digunakan untuk tujuan politik, ia bukanlah satu kesalahan.
Malah, wang tersebut boleh disimpan dalam bentuk pelaburan unit amanah oleh ahli politik (bermaksud tidak dibelanjakan) jika dapat dibuktikan wang itu adalah reimbursement bagi wangnya yang telah dibelanjakan untuk tujuan politik.
Contohnya, jika seorang ahli politik telah membelanjakan RM100,000 wang sendiri untuk tujuan politik, kemudiannya dia menerima sumbangan dana politik sebanyak RM100,000 daripada mana-mana pihak, wang itu boleh disimpan olehnya sebagai reimbursement atas perbelanjaan sendiri yang telah dikeluarkan sebelumnya.
Ini adalah kesan langsung daripada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Syed Saddiq.
Mungkin selepas ini eloklah ahli-ahli politik menyimpan resit perbelanjaan wang sendiri yang telah digunakan untuk tujuan politik. Banyak boleh claim.
Bukan mudah ‘sailang’ wang parti
Muhyiddin Yassin pula didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa di bawah Akta SPRM. Kes Muhyiddin pelik sedikit.
Wang tidak diterima oleh Muhyiddin. Tidak ada satu sen pun wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya atau akaun syarikatnya atau disimpan dalam bentuk tunai. Tidak ada. Kesemua wang dimasukkan terus ke dalam akaun Bersatu untuk tujuan dana politik.
Bukankah kes Muhyiddin lebih jelas berbanding kes Ku Nan dan Syed Saddiq?
Sudah tentulah apabila wang dimasukkan ke akaun parti, wang itu dibelanjakan untuk tujuan membiayai kegiatan parti. Wang ini adalah dana politik yang tidak boleh dianggap sebagai suapan atau rasuah.
Bukan mudah untuk ‘sailang’ wang parti. Setiap transaksi ada rekod dalam penyata akaun bank parti. Akaun parti juga diaudit setiap tahun oleh auditor bertauliah. Jika ada penyelewengan, ia boleh dikesan.
Dalam kes Muhyiddin, tidak ada bukti wang parti digunakan untuk tujuan peribadi. Jika ada sudah tentu dia didakwa atas kesalahan pecah amanah. Tetapi tidak ada.
Kenapa Muhyiddin didakwa?
Jika sikap mahkamah (seperti dalam kes Syed Saddiq dan Ku Nan) ialah menerima, menyimpan dan menggunakan dana politik untuk tujuan politik bukanlah satu kesalahan, maka mahkamah boleh buang kes Muhyiddin dengan mudah.
MARZUKI MOHAMAD adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin dan kini di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani UIAM.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

