malaysiakini logo
story-image
ADS

SURAT | Keputusan terhadap kedudukan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dicabar Sisters in Islam Forum (SIS) akhirnya sampai ke penghujung setelah melalui proses perbicaraan yang memakan masa lebih 10 tahun serta melibat tiga peringkat mahkamah.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan Mais terpakai ke atas individu yang menjadi pentadbir atau ahli SIS.

Keputusan hakim dibuat atas hujah bahawa SIS bukanlah individu sebaliknya sebuah organisasi syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat.

Keputusan tersebut logik kerana fatwa hanya terpakai ke atas individu beragama Islam.

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan menimbulkan kekecewaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan Islam dalam nama dan penerbitan SIS boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Baginda juga menggesa agar SIS tidak lagi menggunakan perkataan Sisters in Islam dalam sebarang bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

Kegusaran baginda berasas kerana perkataan Islam yang ada pada SIS menjadikan mereka ‘duta’ di mata orang bukan Islam. Kontradiksi berlaku apabila pegangan akidah SIS tidak selari dengan pihak berkuasa agama di Selangor.

Jika dibiarkan SIS terus bergerak aktif maka ia bakal menganggu usaha dakwah di Selangor.

Penyokong SIS menerima keputusan mahkamah semalam sebagai kemenangan. Namun sebenarnya mereka cuba menutup perasaan kesal di mata umum.

Walaupun SIS – sebagai sebuah organisasi – terkecuali daripada fatwa tersebut, setiap partisan pertubuhan itu yang beragama Islam tidak dapat mengelak daripada fatwa yang dikeluarkan.

Keputusan mahkamah akan membataskan penggerak SIS daripada terus ‘menunggang’ nama Islam pada masa hadapan.

Jika penggerak terbabit terus mahu berkeras mereka perlu bertaubat dan Mais mempunyai bidang kuasa untuk menangani masalah kesesatan tersebut.

Mereka yang masih berdegil untuk mengangkat perjuangan SIS boleh diberikan kaunseling, dikenakan denda yang tinggi dan hukuman penjara jika disabit kesalahan di mahkamah syariah di Selangor.

Hukuman ini sedikit sebanyak akan melemahkan pergerakan SIS daripada terus mengelirukan dan mencemarkan nama Islam di Selangor.

Kesimpulannya, keputusan Mahkamah Persekutuan sebenarnya menjadi simbol kemenangan untuk Mais.

Kemenangan paling besar ialah apabila umat Islam di Malaysia mula sedar bahawa penggerak SIS yang mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme agama perlu bertaubat.

Kesedaran itu akan menjauhkan umat Islam – terutamanya di Selangor – daripada SIS dan pemikiran yang mereka perjuangkan. Nama SIS akan tenggelam pada masa hadapan apabila penggeraknya tidak dapat bergerak bebas untuk menunggang nama agama.


MOHD FAUZI FADZIL ialah pensyarah kanan di Universiti Poly-Tech Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen