malaysiakini logo
story-image
ADS

SURAT l Saya menolak sekeras-kerasnya tuduhan dangkal dan serangan politik tidak matang oleh Wan Saiful Wan Jan,Ahli Parlimen Tasek Gelugor terhadap projek pembangunan “Kota Madani”.

Kenyataan beliau bukan sahaja menunjukkan kejahilan terhadap dasar pembangunan bandar, malah memperlekehkan usaha kerajaan dalam memenuhi keperluan penjawat awam dan golongan pekerja.

Tuduhan beliau bahawa projek ini kononnya dinamakan sempena perdana menteri jelas bersifat jahat, mengelirukan orang awam, dan menjurus kepada politik murahan.

Perlu ditegaskan bahawa Kota Madani bukan “Kota Anwar” seperti yang didakwa secara sinis oleh beliau. Nama Madani tidak pernah dicipta untuk mengangkat mana-mana individu, tetapi merupakan teras dasar pentadbiran negara hari ini.

Madani ialah singkatan kepada nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, Daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan sebagai prinsip utama dalam dasar Malaysia Madani yang memperjuangkan tadbir urus baik, pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

Adalah amat memalukan apabila seorang ahli Parlimen ini sanggup memperlekehkan falsafah negara yang berteraskan nilai murni ini demi kepentingan politik sempit.

Hakikatnya, 90 peratus daripada penduduk Putrajaya adalah penjawat awam. Maka adalah wajar dan amat perlu untuk kerajaan memastikan keperluan asas mereka dipenuhi.

Kota Madani bukan projek untuk golongan Elitis dan jauh daripada sindrom pencakar langit yang melanda kerajaan - kerajaan sebelum ini, sebaliknya Kota Madani adalah penyelesaian konkrit kepada isu legasi perumahan awam di Putrajaya.

Laporan Ketua Audit Negara 2021 mengesahkan bahawa hampir 18,0000 penjawat awam masih berada dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters kerajaan. Namun begitu, tiada pembangunan kuarters baharu telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Justeru, seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri, Kota Madani akan menyediakan 10,000-unit yang dikhaskan sebagai kuarters untuk penjawat awam, yang boleh menempatkan sehingga 30,000 penduduk.

Ini bukan sekadar angka tetapi ia adalah komitmen sebenar untuk memenuhi hak dan keperluan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang pentadbiran negara dan menyelesaikan isu ketidakseimbangan permohonan kuarters oleh penjawat awam dengan jumlah sebenar kuarters yang tersedia.

Dari segi reka bentuk dan perancangan, Kota Madani menawarkan model pembangunan bandar yang inklusif dan mampan.

Ia adalah sebuah bandar yang direka untuk memudahkan kehidupan seharian rakyat, di mana semua kemudahan asas seperti sekolah, kedai runcit, perbankan, tadika, medan selera, dan dewan komuniti boleh dicapai dalam jarak jalan kaki tidak melebihi 15 minit dari kediaman. Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan, malah meningkatkan kualiti hidup penduduk. Selain itu, ini juga akan melengkapkan ciri bandar bersifat walkable city yang moden dan mesra rakyat.

Kenyataan Wan Saiful hanyalah satu lagi percubaan politik lama yang cuba menggagalkan usaha pembaharuan kerajaan. Sekiranya beliau benar-benar peduli terhadap kebajikan rakyat, seharusnya beliau menyokong projek yang menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam dan pekerja bandar, bukannya menabur fitnah dan memburukkan inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat.

Politik sinikal dan retorik tanpa fakta seperti ini sudah lapuk dan tidak lagi relevan dalam landskap Malaysia baharu yang mahu maju ke hadapan dengan dasar yang adil, saksama dan menyeluruh.

Kota Madani bukan kota retorik, tetapi kota harapan dan kesejahteraan yang dibina atas dasar keperluan sebenar rakyat. Inilah bukti bahawa kerajaan Madani bukan sekadar menabur janji, tetapi menyampaikan penyelesaian konkrit kepada isu-isu yang telah lama dibiarkan tanpa perhatian.

Cukuplah politik murahan. Rakyat perlukan hasil, bukan helah.


SIVAMALAR GENAPATHY adalah ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen