malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | Kekeliruan politik akidah yang menggerunkan
ADS

SURAT | Ada yang keliru antara ungkapan “politik bukan akidah” dan “akidah dan perjuangan”.

Lebih menggerunkan apabila ada yang mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan dua ungkapan tadi sedangkan sifat mengadu domba itu perangai munafik.

Mengelirukan orang awam atas nama agama adalah virus berbahaya kepada masyarakat, sedangkan maqasid syariah bertujuan untuk menjaga keamanan masyarakat.

Ungkapan “politik bukan akidah” membawa maksud bahawa politik bukan suatu agama atau kepercayaan. Agama atau kepercayaan itu akidah yang tidak boleh dipertikai.

Politik itu relativism, akidah itu absolutism; politik itu berubah, akidah itu tetap; politik itu ciptaan manusia, akidah itu ciptaan Allah; politik itu dikemudi nafsu, akidah dikemudi al-Quran.

Sebab itu, seorang alim apabila berpolitik, hudud boleh menjadi tunggangan, sedangkan hudud dalam akidah hukumnya wajib.

Seorang alim jika berpolitik, kumpulan Cina pada satu masa menjadi haram padanya, tetapi masa yang lain pula ia boleh menjadi halal.

Seorang alim yang berpolitik, kerajaan sanggup dikhianati sedangkan akidah melarang perbuatan sebegitu.

Ia berlaku sedemikian kerana semua hal yang berkaitan menjadi rapuh disebabkan praktik politik yang dipandu nafsu dan segalanya dibolehkan asal kuasa dapat dimiliki.

Adapun ungkapan “akidah dan perjuangan” membawa maksud politik perlu diperjuangkan untuk mengangkat akidah. Politik adalah wasilah bagi menegakkan akidah dan jalan kuasa bagi melaksanakan syariat Islam.

Wasilah ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang cintakan Islam.

Walaupun politik bukan perkara akidah, ia bukanlah bermakna politik tidak penting dalam Islam. Politik bukan membawa maksud ia menjadi batas yang memisahkan iman dan kufur.

Maksudnya, berpolitik tidak menghalalkan perbuatan mengkafirkan seseorang hanya kerana mereka berlainan pandangan, pendekatan dan wadah.

Adalah jelas, kedua-dua ungkapan tadi berbeza dari sudut makna, namun sama menerangkan sifat sebenar politik dalam Islam.

Memperjuangkan Islam adalah amanah untuk semua insan. Ia bukan hak milik eksklusif satu golongan sahaja. Ia tidak dimaknakan sebegitu walaupun mereka dikelilingi orang alim, kerana alim itu bukan asasnya.

Asas kepimpinan politik ialah kompetensi dan amanah seperti yang dinyatakan dalam ayat ke-26 surah al-Qasas.


FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agung Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen