Di hadapan takhta empayar Rusia yang bersejarah, PMX bergurau kepada Presiden Vladimir Putin bahawa tempat duduk ketiga “untuk isteri kedua”. Hadirin tertawa, Putin tersenyum, dan rakyat Malaysia – terbahagi dua antara “relakslah, lawak saja” dan “kenapa jenaka wanita masih menjadi bahan ketawa lelaki?”
Ironinya, yang tidak ketawa langsung adalah anggota sayap wanita dalam politik kita. Bukan sebab mereka marah, tetapi diam seribu bahasa.
Ini bukan kali pertama wanita dijadikan peluru gurauan dalam politik lelaki. Pada November 2023, Nordin Ahmad Ismail, anggota parlimen Lumut berpantun di Dewan Rakyat:
Ada hati nak tambah isteri,
tambah isteri nombor dua.
Assalamualaikum YB menteri,
Soalan saya nombor dua.
Yeo Bee Yin bangun waktu itu meminta beliau menarik balik dan beliau kemudian menyifatkan pantun itu adalah ‘pantun lawak’ dan meminta maaf sekiranya ada YB wanita tersinggung.
Keesokan hari, Tuan Ibrahim Tuan Man, anggota Parlimen Kubang Kerian mencadangkan poligami bagi menyelesaikan masalah (wanita) kahwin lambat sehingga menimbulkan polemik. Teo Nie Ching antara pemimpin wanita yang menyelar kenyataan itu.
Jadi, bila perdana menteri sendiri buat jenaka tentang “isteri kedua”, kita tak terkejut. Yang mengecewakan, tiada siapa (atau belum ada?) dari kalangan pemimpin wanita yang berkata, “Tak kelakar, bos.”
Saya tertanya-tanya: Di mana suara keramat sayap wanita?
Di mana pemimpin wanita yang sebelum ini gah melaungkan perjuangan wanita di pentas-pentas rasmi dan sidang-sidang parti? Adakah suara wanita hanya muncul ketika bercakap di atas pentas bersama menteri? Atau hanya kuat bila bicara tentang kuih tradisi di TikTok?
Jika perkara sekecil ini pun tidak ditegur, bagaimana kita mahu percaya bahawa sayap wanita mampu memimpin perbincangan besar tentang keganasan rumah tangga, hak bekerja secara adil, diskriminasi terhadap ibu tunggal, atau kesamarataan gaji? Apatah lagi kuota 30 peratus yang tidak pernah terisi.
Kalau jenaka tentang isteri kedua dianggap ringan dan tidak perlu diulas, maka jelaslah jenaka ini sebenarnya mendedahkan sesuatu yang sangat berat: bahawa wanita dalam politik Malaysia masih isu kedua.
Setiap gurauan datang dengan kesan budaya. Bila seorang pemimpin negara menyebut “isteri kedua” di hadapan seorang diktator, ia bukan hanya tentang lucu, tetapi tentang normalisasi struktur kuasa yang menjadikan wanita sebagai simbol status lelaki.
Sebagai pemerhati politik di tepi gelanggang, saya tidak tersinggung dengan lawak itu. Saya tersinggung kerana tiada wanita pemimpin yang tersinggung!
Kalau tak mahu bersuara, tidak mengapa. Tetapi jangan marah bila rakyat ketawakan kegagalan sayap wanita memperjuangkan isu wanita. Sebab lawak ini bukan tentang isteri kedua sahaja – tetapi tentang betapa mudahnya wanita diketepikan, sekali lagi.
HAZIQAH NZ memperkenalkan dirinya sebagai pemerhati politik tepi gelanggang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

