Kerajaan Selangor tidak wajar menghentikan tajaan pelajar ke Timur Tengah untuk ijazah pertama.
Alasan untuk memberikan ruang pengajian yang luas menerusi Universiti Islam Selangor sangat tidak kukuh. Hal ini kerana kepelbagaian tempat pengajian di dalam atau di luar negara akan melahirkan graduan yang mempunyai kepelbagaian pengalaman ilmu yang menguntungkan negara. Ia telah terbukti sepanjang berdekad pihak kerajaan menghantar pelajar ke sana.
Sementelah persekitaran dan kemampuan ilmu para Alim Ulama di Timur Tengah dan persekitaran bahasa Arab yang menjadi asas kepada pengajian Islam tentu sahaja mempunyai kelebihan tersendiri berbanding di Malaysia.
Kerajaan Selangor wajar menimbang kembali keputusan yang merugikan usaha mencetak ilmuwan Islam ini.
Al-Azhar sebagai contoh selaku mercu tanda ilmu Islam sejak lebih 1000 tahun telah mencipta tokoh-tokoh ulama di Alam Melayu. Jordan sebagai hub ilmu Islam yang semakin berkembang menerusi kaedah pendidikan Islam yang lebih moden juga telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama semasa dalam negara.
Alasan yang diberikan oleh kerajaan iaitu kebimbangan para pelajar terpengaruh dengan persekitaran luar dan asing daripada acuan negara sangat lemah kerana sebagai kerajaan, ia mampu memantau dan menyelia mahasiswa menerusi kedutaan dan atase pendidikan dari semasa ke semasa menerusi pelbagai latihan induksi kenegaraan.
Saya dimaklumkan bilangan pelajar pengajian Islam daripada Selangor untuk tahun ini di Jordan sendiri telah mengungguli berbanding negeri-negeri lain. Usaha ini perlu diteruskan bukannya dibantutkan.
Saya berharap kerajaan Selangor kembali menimbang keputusan ini menerusi siri-siri perbincangan dengan lepasan Timur Tengah yang telah menyumbang jasa pada negara.
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah timbalan pengerusi Majlis Ulama Umno.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


