malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | Sinar di hujung terowong buat PSM selepas Ayer Kuning
ADS

SURAT | Walaupun PSM tetap kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini, namun masih ada unsur ‘reformasi’ yang dapat dilihat dalam keputusan PRK Ayer Kuning semalam.

Undi kepada calon PSM Bawani KS - yang bertanding buat kali kedua di situ - meningkat dan di tiga daripada 67 pusat daerah mengundi (PDM), Bawani berjaya mengatasi calon PN. 

Walau pun ia tidak mampu membawa kemenangan kepada PSM, ini jelas merupakan perkembangan positif untuk PSM sebagai suara alternatif dalam PRK ini.

Pengundi di tiga PDM ini, dan mungkin juga di PDM lain, barangkali sudah berubah penilaian dan pemerhatian mereka terhadap parti politik seperti PSM.

Walaupun masih dalam mood menolak BN atau Umno, mereka pada masa sama menolak PAS sebagai pilihan kedua.


Baca: Kuasa ketiga: PSM tewaskan PN di 3 PDM


Mungkin kerana PSM dan calonnya dilihat tetap mempamerkan sikap dan komitmen sebagai parti politik yang konsisten mahu membela dan mewakili rakyat di DUN Ayer Kuning sejak dulu.

Memang sukar untuk menafikan bahawa PSM kekal membawa imej pembela rakyat yang ‘original sehingga kini, selain tetap tegar dengan hala tuju dan kegiatan parti.

Mereka bercakap mengenai isu-isu rakyat, rasuah, salah guna kuasa dan menekankan pentingnya tata kelola yang baik dalam urus tadbir negara. PSM tidak terikut-ikut dengan permainan politik parti lain melibatkan agama, bangsa dan isu peribadi.

Dengan penerimaan sokongan yang agak mengejutkan, walau hanya di tiga daripada 67 PDM, keputusan PRK Ayer Kuning boleh menjadi motivasi kepada parti itu.

Ia juga boleh dilihat sebagai satu proses normalisasi dalam penilaian pengundi terhadap parti yang dilihat berhaluan kiri.

Prinsip-prinsip sosialisme tidak bercanggah dengan matlamat serta ciri-ciri kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran majoriti rakyat dalam negara ini.

Kepada PSM, selamat meneruskan perjuangan idealisme parti anda, kerana sudah terbayang sedikit cahaya dihujung terowong dalam landskap politik dan pilihan raya di negara ini.


RAMLI MOHD YUNUS adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen