Saya merujuk kepada berita-berita akhbar selama beberapa hari yang lepas mengenai penutupan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya. Izinkan saya berikan sedikit maklumat latarbelakang mengenai Pusat Asasi Sains untuk membetulkan beberapa maklumat yang telah dilaporkan.
Pada tahun 1960 dan 1970an, kemasukan pelajar Bumiputera dari sekolah terus ke fakulti berasaskan sains di Universiti Malaya adalah tidak mencukupi. Pusat Asasi Sains telah ditubuhkan untuk menambahkan bilangan pelajar Bumiputera yang memasuki Universiti Malaya. Ia langkah sementara kerana bukan tugas universiti untuk menyediakan pelajar untuk memasuki universiti. Semua pihak telah dimaklumkan awal-awal lagi semasa penubuhannya bahawa Pusat Asasi Sains akan ditutup setelah bilangan kemasukan pelajar Bumiputera ke fakulti-fakulti sains mencukupi.
Pada peringkat awal penubuhannya, Pusat Asasi Sains telah berjaya membekalkan pelajar yang cukup untuk fakulti-fakulti berkenaan. Malang sekali beberapa tahun kebelakangan ini, Pusat Asasi Sains telah kurang berjaya menyediakan bilangan pelajar Bumiputera yang mencukupi untuk pengajian sarjana muda terutamanya ke Fakulti Sains. Ini adalah kerana perkembangan pesat Universiti Malaya yang memerlukan lebih ramai belajar Bumiputera tetapi ruang dan kemudahan di Pusat Asasi Sains adalah terhad.
Oleh kerana ini, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan beberapa pusat matrikulasi untuk mengambilalih tugas Pusat Asasi Sains dan program matrikulasi di Institut Pengajian Tinggi lain, dan telah mengarahkan Pusat Asasi Sains ditutup. Universiti Malaya akur dengan arahan tersebut. Pelajar baru tidak lagi diambil pada tahun 1999 tetapi pelajar yang sedia ada dibenarkan tamatkan pengajian mereka. Proses penutupan Pusat Asasi Sains telah pun bermula pada 1999. Pusat Asasi Sains akan tutup sepenuhnya apabila kumpulan pelajar terakhir tamat pengajian mereka.
Pada tahun 1999, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) telah membantah penutupan Pusat Asasi Sains kepada pihak pengurusan Universiti Malaya. PKAUM tidak yakin pusat matrikulasi Kementerian Pendidikan mampu menyediakan bilangan pelajar Bumiputera berkelayakan yang mencukupi untuk keperluan fakulti-fakulti sains di Universiti Malaya. Sesuatu pusat itu sudah tentu memerlukan lima hingga 10 tahun untuk mantap dari segi kemudahan pengajaran dan tenaga pengajar. Kenapa tidak tunggu sehingga pusat-pusat matrikulasi ini betul-betul bersedia untuk berfungsi?
PKAUM juga telah menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan kakitangan Pusat Asasi Sains, terutamanya kakitangan akademik. Dalam hal ini, pihak pengurusan Universiti Malaya telah memberi jaminan bahawa tidak ada kakitangan Pusat Asasi Sains yang akan diberhentikan atau dipindahkan keluar dari Universiti Malaya.
PKAUM ingin merakamkan rasa kesal terhadap Kementerian Pendidikan yang lepas tangan tidak mahu bertanggongjawab ke atas 'fiasco' ini. Semuanya berpunca daripada arahan Menteri Pendidikan sebelum ini. Adalah salah bagi sesetengah pihak yang menyalahkan pihak pengurusan Universiti Malaya masa kini. Jika hendak dicari persalah atau kambing hitam, tanyalah Menteri Pendidikan Malaysia dan Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 1998/1999.
PKAUM mengesa pihak pengurusan Universiti Malaya mengkaji semula rancangan penutupan Pusat Asasi Sains. Buka dahulu Pusat Asasi Sains sehingga beberapa sesi kemasukan pelajar dari pusat matrikulasi. Adakah kita yakin pusat metrikulasi Kementerian Pendidkan dapat menyediakan bilangan pelajar yang lebih ramai dan lebih berkelayakan dari Pusat Asasi Sains?
