Masyarakat kini masih membicarakan tentang, perpecahan yang dikatakan menyelubungi masyarakat Melayu. Perkara yang menarik untuk diperkatakan ialah tentang kesediaan Umno untuk duduk semeja dengan PAS dan Keadilan bagi membincangkan 'masa depan orang Melayu'.
Nampaknya hasrat murni itu tidak boleh ditolak. Jika PAS atau Keadilan cuba menolak, bermakna mereka akan dianggap sebagai anti perpaduan.
Walau bagaimanapun, saya ingin memberi peringatan kepada saf kepimpinan PAS dan Keadilan, bahayanya berkompromi dengan Umno yang mempunyai pemimpin yang sungguh licik bermain politik. Bagi Umno sesuatu tindakan yang hendak dilakukan, mestilah akan memberikan keuntungan kepada politik mereka. Jika PAS mahupun Keadilan tersilap langkah, mereka akan terperangkap dengan taktik kotor Umno itu.
Saya berharap barisan pemimpin parti pembangkang, terutamanya dari Keadilan (yang dulunya juga berasal dari Umno) sudah cukup masak dengan permainan silap mata pemimpin Umno ini.
Saya bukanlah anti perpaduan. Tidak ada orang Melayu yang suka melihat orang Melayu berpecah dan akhirnya menjadi lemah. Tetapi apa yang dikatakan perpecahan itu sebenarnya tidak berlaku. Apa yang dikatakah lemah, sebenarnya Umno itu sendiri. Percayalah jika kena dengan gayanya, kekuatan yang dimiliki oleh PAS dan Keadilan dengan sokongan PRM sudah cukup untuk mengatasi kekuatan Umno dengan nisbah yang besar.
Jadi apa gunanya bergabung dengan Umno jika ingin menyatu padukan umat Melayu? Apa gunanya bergabung dengan Umno jika hanya ingin menguatkan orang Melayu sedangkan orang Melayu itu bukan sahaja telah kuat, malah kekuatan tersebut telah tercatat dalam perlembagaan negara? Dan yang nyata kekuatan orang Melayu dalam PAS dan Keadilan itu sudah cukup kuat. Kalau adapun kekuatan orang Melayu yang telah berkurangan dan terhakis, pihak yang wajib dipertanggung jawabkan ialah Umno. Bagaimankah pihak yang tidak lagi mendapat tempat di kalangan sebilangan besar orang Melayu, boleh menjadi 'host' dalam perbincangan yang akan diadakan itu?
Setelah sekian lama Umno itu dipertanggung jawabkan untuk menterjemahkan hasrat orang Melayu, apa yang mereka lakukan? Tidakkah mereka merasa malu, kalaupun tidak dengan orang Melayu yang memilih mereka, sekurang-kurangnya pada diri sendiri? Politik hasad dengki, cantas-mencantas dan sebagainya sudah sebati dengan politik Umno.
Tanya sendiri dengan orang Umno. Pasti tidak ada siapa yang sanggup menafikannya. Bila kuasa ada di tangan, mereka gunakan segala kesempatan yang ada untuk mengumpul harta untuk mengisi tembolok dirinya dan kaum keluarga. Malangnya masih ada yang berlakon dengan senyuman manis terutama bila menjelang pilihanraya. Lebih malang lagi orang Melayu yang hidupnya sudah sebati dengan Umno akan tetap memilih Umno walau apapun yang berlaku.
Masa beredar, orang Melayu tidak lagi seperti orang Melayu pada tahun 1970-an. Orang Melayu sekarang sudah bertambah cerdik. Sebab itu saya menentang keras jika ada yang mengatakan bahawa parti pembangkang telah meracuni fikiran orang Melayu, mempengaruhi orang melayu, menghasut orang Melayu dan sebagainya.
Dalam keadaan tertekan seperti sekarang pun pemimpin Umno terus bermain wayang kulit. Jari mereka tidak pernah membengkok. Sebaliknya terus menerus menudingkan ke arah orang lain. Saban hari orang Melayu dipersalahkan. Orang Melayu dituduh tidak tahu mengenang budi. Orang Melayu tidak tahu bersyukur. Kemudian jari itu ditudingkan lagi. Kepada parti pembangkang pula dikatakan memutar belitkan fakta, meracuni fikiran rakyat.
Jika PAS dan Keadilan dianggap meracuni dan merosakkan pemikiran orang Melayu, layakkah mereka diajak berunding? Setelah puas mereka mencerca ahli dan pemimpin parti pembangkang sekarang mereka bersedia untuk berbincang. Malah ketika mereka bermuka manis kononnya untuk menyatukan semula orang Melayu, dalam masa yang sama mereka masih mengamalkan politik membalas dendam dengan menarik royalti minyak yang dinikmati oleh Terengganu, semata-mata kerana Terengganu diperintah oleh PAS.
Di kala mereka cuba menarik simpati orang Melayu supaya kembali ke pangkuannya, mereka masih menangkap pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Di kala mereka merasakan mereka masih memerlukan orang Melayu untuk terus memerintah, mereka masih membenarkan pihak polis terus bermaharajalela memukul dan mencederakan orang Melayu yang inginkan perubahan.
Di kala parti PAS dan Keadilan tidak pernah menolak permohonan orang Melayu untuk menjadi ahli, masih kedengaran dari segelintir orang Melayu yang merungut kerana permohonan untuk menjadi ahli Umno tidak pernah mendapat jawapan. Sebab itu keahlian mereka bertambah dari masa kesemasa. Parti yang sering menolak permohonan menjadi ahli ialah Umno.
Berapa ramai orang S46 yang tidak dapat menjadi ahli Umno bila parti itu dibubarkan sedikit masa dulu? Dalam politik PAS dan Keadilan tidak ada budaya cantas-mencantas, yang akhirnya akan menyebabkan ahli bawahan berpecah-belah. Yang mengamalkan politik cantas-mencantas ialah Umno. Yang mengamalkan budaya hasad dengki ialah Umno.Yang mengamalkan budaya fitnah-memfitnah ialah Umno, yang mengamalkan budaya menjatuhkan orang lain ialah Umno. Budaya tersebutlah yang menyebabkan orang Melayu menjadi muak dengan Umno dan akhirnya menyertai parti pembangkang.
Umno kini hanya perlu meratapi nasib malang mereka. Mereka hanya perlu menghitung hari menjelang kejatuhan sebenar mereka. Kehilangan sokongan merupakan tanda awal kejatuhan. Jika mereka benar-benar ikhlas inginkan orang Melayu bersatu, perkara yang wajib dilakukan ialah buangkan budaya hasad dengki, budaya membalas dendam, budaya menghukum dengan keterlaluan orang yang tidak sehaluan, budaya meperlecehkan orang dan yang paling penting sekali ialah, mereka mesti menghargai dan berterima kasih kepada orang Melayu yang telah meletakkan mereka di kedudukan sekarang dan bukannya memaksa orang Melayu supaya berterima kasih. Orang Melayu tidak perlu diajar. Mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan.
Tetapi saya pasti pemimpin Umno yang sanggup melakukan semua itu boleh dikira dengan jari. Maka janganlah mereka bermimpi untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu. Kalau pun ada pihak yang ingin berjuang untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu payung, dan kembali menguatkan kuasa yang terhakis itu, pihak tersebut ialah parti PAS dan Keadilan kerana di sanalah berhimpunnya kebanyakan orang Melayu.
