Setiap tahun, pasti isu pilihan raya kerajaan tempatan akan menjadi isu hangat.
Satu pihak akan memainkan sentimen perkauman, sehingga pihak yang mentadbir akan putus asa atau tangguhkan niat untuk kembalikan pilihan raya kerajaan tempatan ini.
Kebetulan pula, pada penggal kali ini, menteri yang menjaga portfolio kerajaan tempatan datangnya daripada DAP (Nga Kor Ming) dan pihak yang paling lantang menentang adalah PN) dan termasuk juga daripada UMNO. Maka, sentimen perkauman makin hangat dipergunakan sebagai alasan untuk menolak pilihan raya kerajaan tempatan.
Mari kita tolak tepi sentimen perkauman dan betul-betul memahami kenapa pilihan raya kerajaan tempatan ini perlu diadakan semula.
Akauntabiliti
Pertama, soal akauntabiliti terhadap duit yang dibelanjakan.
Pada tahun 2024, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mencadangkan peruntukan sebanyak RM449 juta. Sebagai perbandingan, pada tahun yang sama Kementerian Perpaduan Negara mendapat peruntukan sebanyak RM 635 juta.
Sebuah kerajaan tempatan mempunyai peruntukan kira-kira dua pertiga daripada sebuah kementerian di peringkat persekutuan.
Satu lagi contoh ialah perbelanjaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). DBKL telah menyediakan Belanjawan 2024 dengan peruntukan sebanyak RM 2.66 billion. Sebagai perbandingan, pada tahun yang sama Kementerian Luar mendapat peruntukan sebanyak RM 1.127 billion.
Sebuah kerajaan tempatan mempunyai peruntukan dua kali ganda berbanding sebuah kementerian persekutuan yang sangat strategik.
Jadi, ada satu persoalan yang kita perlu tanya:
Jika perbelanjaan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu dibahaskan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, kenapa perbelanjaan kerajaan tempatan ini tidak perlu dibahas? Bukankah semua itu duit rakyat?
Semak imbang pentadbiran
Kedua, soal semak imbang pentadbiran. Tidakkah pelik apabila sesebuah kerajaan tempatan boleh membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada masyarakat di bawah pentadbirannya, tanpa ada pihak yang boleh membahaskan keputusan tersebut dengan adil?
Kenapa MBPJ boleh terus melaksanakan Pelan Strategik PJ Smart, Sustainable, Resilient 2030 (PJSSR 2030) tanpa ada mana-mana pihak yang boleh menyemaknya? Adakah mana-mana pihak berpeluang untuk bertanya, misalnya berapa wang yang telah dibelanjakan untuk PJSSR 2030 dan apakah status pelaksanaan pelan ini?
Hal yang sama untuk DBKL.
Bagaimana rakyat di Kuala Lumpur ingin bertanya tentang program mitigasi banjir dan program pengurusan kesesakan lalu lintas, untuk memastikan program-program tersebut berjalan dengan lancar? Bagaimana ingin memastikan dana untuk program-program tersebut tidak diselewengkan tanpa ada proses semak imbang yang sebenar?
Ada kertas kajian yang dkeluarkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) yang menyatakan pilihan raya kerajaan tempatan dapat mengurangkan gejala rasuah. Ini kerana pilihan ray itu akan mempertanggungjawabkan pihak berkuasa tempatan dan ahli-ahli majlis kepada rakyat.
Persoalan yang perlu ditanya:
Jika kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ada proses semak imbang, mengapa pula kerajaan tempatan tidak boleh ada proses yang sama? Bukankah proses semak imbang penting untuk memastikan tiada kes rasuah dalam sistem pentadbiran kerajaan tempatan?
Perwakilan suara rakyat
Apabila tiadanya pilihan raya kerajaan tempatan, maka secara tidak langsung suara rakyat tidak diambil kira dengan sebenarnya.
Di peringkat persekutuan, suara rakyat dibawa melalui ahli parlimen manakala di peringkat melalui Adun. Tetapi, mengapa pula suara rakyat disekat di peringkat kerajaan tempatan? Tiada wakil rakyat dalam pentadbiran kerajaan tempatan yang dipilih secara demokrasi.
Walhal, kerajaan tempatan merupakan lapisan kerajaan yang paling dekat dengan rakyat. Isu lampu jalan rosak, jalan berlubang, longkang tersumbat dan macam-macam lagi terletak di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. Suara rakyat yang memberi aduan, cadangan dan rintihan perlu didengari oleh kerajaan tempatan.
Kertas kajian Isis juga ada menyatakan bahawa sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan, ahli-ahli majlis serta pentadbiran kerajaan tempatan akan lebih rajin turun ke lapangan untuk mendapatkan cadangan daripada rakyat berkenaan program mereka.
Mereka akan sedar bahawa kuasa untuk memilih pembuat dasar di peringkat tersebut berada di tangan rakyat.
Persoalan yang perlu ditanya:
Jika pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan, bukankah ia akan menyuburkan lagi sistem demokrasi di negara kita, terutama dalam masyarakat setempat? Bukankah dengan kembalinya pilihan raya kerajaan tempatan, suara rakyat akan lebih didengar pihak yang mentadbir?
Kesimpulan
Natijahnya, cadangan untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan bukannya untuk menghakis kuasa mana-mana kaum.
Prinsip sebenar pilihan raya kerajaan tempatan adalah untuk mengembalikan sistem pentadbiran yang baik dalam masyarakat setempat.
Prinsip yang betul-betul perlu diperjuangkan adalah supaya lapisan kerajaan yang paling dekat dengan rakyat memiliki sistem pentadbiran yang baik, telus dan ada semak imbang.
Jadi, apakah langkah yang akan diambil oleh pihak Kerajaan tempatan? Adakah mereka akan tinggalkan prinsip pentadbiran yang baik? Adakah mereka akan lupakan prinsip tatakelola yang selalu diperjuangkan?
Sampai bila lagi rakyat perlu menunggu sebelum pentadbiran yang lebih telus ada dalam kerajaan tempatan kita?
ADAM AZRAI MAZLI adalah pegawai khas kepada Adun Puteri Wangsa dan pemangku Presiden Muda, Amira Aisya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

