malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | CAP bimbang nahas kenderaan berat meningkat
ADS

Kementerian Pengangkutan perlu laksanakan langkah keselamatan lebih cekap dan ketat sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan supaya melaksanakan langkah keselamatan yang lebih cekap dan ketat di seluruh negara bagi mengurangkan kemalangan jalan raya semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Baru-baru ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat. Pada 2024 sahaja, terdapat 825 kemalangan maut melibatkan kenderaan tersebut dalam tempoh 10 bulan sahaja.

Adalah penting untuk mengakui bahawa kemalangan jalan raya dan kematian bukanlah sekadae kemalangan.

Apabila kita merujuk kepadanya sebagai “kemalangan”, kita membayangkan bahawa ia tidak dapat dielakkan, yang mengekalkannya sebagai budaya penerimaan.

Pemikiran ini menunjukkan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalangnya.

Walau bagaimanapun, kemalangan jalan raya adalah akibat daripada dasar pengangkutan yang lemah, kenderaan yang rosak, kepincangan perancangan bandar, reka bentuk jalan, penguatkuasaan yang tidak mencukupi, dan juga, kekurangan kemahuan politik untuk menguatkuasakan langkah-langkah yang kukuh untuk membendung kemalangan.

Dalam banyak kes, seluruh keluarga hilang secara tragis, namun kebanyakan kita tetap bersikap acuh tak acuh, mengabaikan penderitaan orang lain.

Apakah yang telah dilakukan oleh pihak agensi dan penggubal dasar?

Mereka menganggap isu ini terlalu ringan, membenarkan ‘pembunuhan beramai-ramai’ berterusan tanpa kawalan.

Faktor-faktor seperti kelajuan, tabiat pemanduan yang buruk, sikap pemandu, jalan raya yang sesak, keadaan jalan yang tidak memuaskan dan penguatkuasaan yang lemah semuanya menyumbang kepada bilangan kemalangan yang tinggi di Malaysia.

Walaupun keselamatan jalan raya adalah menjadi tanggungjawab semua orang, kerajaan mestilah mengambil langkah utama dalam menangani isu ini.

Jelas sekali, pihak berkuasa telah mengambil masa terlalu lama untuk mengkaji, merancang, dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu.

CAP menggesa penggubal dasar dan agensi untuk mengutamakan keselamatan jalan raya dan memberikan perhatian berat terhadap isu ini.

Pengangkutan awam juga perlu digalakkan sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk mengurangkan penderitaan manusia dan mencegah tragedi selanjutnya.


MOHIDEEN ABDUL KADER Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen