malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT l Kerajaan perlu iltizam kuat noktahkan ketagihan produk rokok
ADS

SURAT l Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) kecewa dengan penangguhan  rang undang-undang untuk mengawal selia rokok dan vape, termasuk generasi penamat (GEG)  yang sepatutnya dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, semalam. 

Perkara ini menjadi kebimbangan pihak kami memandangkan tabiat merokok terutamanya penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah semakin kritikal.

Kita boleh lihat lambakan rokok elektronik dijual di pasaran terbuka yang menarik perhatian murid sekolah khususnya. Sekiranya tiada undang-undang untuk mengawal, maka situasi ini menjadi lebih berleluasa. 

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 yang mendapati peratus penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja telah melonjak naik daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022. 

Pihak PIBGN sangat bimbang dengan situasi masalah merokok yang berlaku pada ketika ini. Kanak-kanak seawal usia sembilan tahun sudah mula terjebak dengan menggunakan produk merokok terutamanya vape.

Apa yang lebih merisaukan adalah produk vape yang berada dalam pasaran sekarang mengandungi kadar nikotin yang sangat tinggi malah dicampur dengan dadah merbahaya seperti methamphetamine dan magic mushroom. 

Perkara ini dapat dilihat di media akhbar dan banyak kilang vape yang mencampurkan methamphetamine ke dalam cecair vape telah diserbu oleh pihak berkuasa.

Tanpa adanya peruntukan GEG dan kawalan terhadap produk vape, pintu kepada penagihan dadah akan terbuka selebar-lebarnya. Malah, seperti yang diketahui umum, kebanyakan penagih dadah bermula dengan tabiat merokok dan vape. 

Kajian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan bahawa 66 peratus perokok di Malaysia adalah dalam kalangan B40.

PIBGN sangat menyokong usaha perdana menteri untuk menoktahkan kemiskinan. Tetapi, isu merokok terutama vapedalam kalangan anak-anak B40 akan menyebabkan usaha ini semakin sukar, malah menjerumuskan anak-anak ke dalam ketagihan nikotin dan merosakkan masa depan mereka. 

Kami juga menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih serius dalam memastikan murid yang terjebak dengan tabiat merokok dan vape dibantu dan bukan hanya menekankan aspek disiplin serta hukuman yang akan dikenakan kepada murid yang didapati merokok. 

Tahukah kita bahawa nikotin adalah bahan yang sangat tinggi kadar kebergantungan berbanding dadah-dadah yang lain sehingga anak-anak yang ditangkap merokok hampir pasti akan mengulangi perbuatan mereka.

Oleh itu, pendekatan yang lebih holistik diperlukan, bukan sahaja oleh pihak KPM yang menjaga urusan murid di sekolah tetapi juga agensi kerajaan yang lain bagi memastikan produk seperti vape tidak mudah diperoleh oleh murid ketika mereka keluar daripada pagar sekolah. 

Kami di PIBGN juga berasa sangat bimbang dan sedih dengan kes kematian remaja perempuan berumur 16 tahun yang meninggal akibat menggunakan vape seperti mana yang telah disebutkan oleh menteri kesihatan. Peristiwa ini adalah sebuah peristiwa yang sangat meruntun jiwa dan sepatutnya tidak lagi berulang.

Maka kerajaan mesti mempunyai iltizam yang kuat bukan sekadar menokhtahkan kemiskinan tetapi nokhtahkan juga penghisap rokok dan vape yang baru supaya Malaysia dalam dua dekad mendatang dapat melahirkan generasi yang sihat dan bebas daripada permasalahan berantai itu.

Justeru, menjadi harapan kami di PIBGN supaya pihak kerajaan sedar dan cakna dengan situasi yang berlaku dengan memastikan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan GEG dibentangkan dan diluluskan dengan kadar segera.

Usah bertangguh lagi, kerajaan perlu bertindak segera.


MOHAMAD ALI HASSAN merupakan presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen