malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | Depani kos sara hidup tinggi dengan panduan Islami
ADS

SURAT | Dewasa ini, isu kos sara hidup sering diperkatakan pelbagai pihak. Semenjak penularan pandemik Covid-19 bermula awal tahun 2020, kos sara hidup didapati semakin meningkat.

Apabila ia meningkat, kebiasaannya bukan mudah untuk turun semula. Justeru, ini menunjukkan keperluan kepada kawalan terhadap kos sara hidup ini.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kos sara hidup? Kos sara hidup adalah kos bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan tempat tinggal serta keperluan lain seperti akses jalur lebar.

Baru-baru ini, harga minyak masak, ayam dan telur meningkat. Ini menyebabkan rakyat resah disebabkan harga makanan asas meningkat. Terdapat kesan sampingan peningkatan harga barangan asas ini menyebabkan harga barangan lain juga turut meningkat seperti harga petrol.

Kos sara hidup merupakan antara elemen dalam penentuan gaji pekerja. Justeru, sekiranya kos sara hidup semakin meningkat, namun tahap gaji tetap tidak meningkat, ini akan menyebabkan rakyat menghadapi kekangan dari segi perbelanjaan dan penyimpanan pendapatan bagi masa depan. Ini menunjukkan kita memerlukan kepada amalan berbelanja yang baik.

Islam menggariskan beberapa panduan untuk kita melakukan perbelanjaan dalam kehidupan kita.

Bersyukur

Sebagai seorang Muslim, kita patut bersyukur kerana diberikan pekerjaan, dan untuk sebahagian daripada kita turut mempunyai kelebihan kemampuan memiliki kad kredit bagi melakukan perbelanjaan. Firman Allah yang bermaksud:

“Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di Akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.” (Surah Al-Israa' 17:21)

Rezeki yang diberikan ini adalah dengan izin Allah, dan hanya Allah SWT sahaja mempunyai kuasa untuk meluaskan ataupun menyempitkan rezeki seseorang. Maka, kita digalakkan bersyukur atas setiap satu pemberianNya. Allah turut berfirman:

“Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Surah Al-Israa' 17:30)

Jangan sombong

Sebagai seorang Muslim yang beriman dan bertaqwa, kita dilarang untuk berlagak sombong kerana memiliki kesenangan. Contohnya, janganlah kita menayangkan kad kredit kita kepada orang lain untuk menunjukkan kesenangan kita. Kita diingatkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah Al-Israa' 17:37)

Jangan boros

Sebagai seorang Muslim, kita disarankan supaya tidak boros kerana orang yang boros itu dikatakan saudara syaitan. Janganlah kita terpesona dengan promosi jualan atas talian dan menyebabkan kita melakukan perbelanjaan yang tidak mustahak.

Contohnya, membeli perkakas dan peralatan yang tidak penting seperti ketuhar, pengadun, loyang dan acuan membuat roti dan kek, jika kita sebenarnya tidak menggunakannya untuk membakar kek atau roti secara kerap.

Ini kerana lebih mudah untuk membeli roti atau kek yang sudah siap di kedai. Larangan ini kita boleh lihat dalam Surah al-Israa’:

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa' 17:27)

Jangan membazir

Dalam kebanyakan pembelian dalam talian juga kita dapati tidak menepati citarasa pembeli. Dalam iklan, gambar produk dilihat sebagai sangat cantik dan menawan. Akan tetapi apabila produk sampai ke rumah, kadang-kadang didapati produk itu tidak seperti mana yang dijanjikan.

Contohnya, sekiranya pembeli menempah pakaian, didapati saiznya terlalu kecil atau besar dan menyebabkan mereka tidak dapat memakai pakaian tersebut. Maka, jelas sekali telah berlaku pembaziran.

Terdapat juga keadaan di mana kualiti produk tidak seperti mana yang dijanjikan. Contoh situasi di mana pembeli menempah beg pakaian atau tas tangan atas talian; dan apabila produk sampai di rumah, pembeli mendapati zipnya tidak dapat digunakan.

Maka sekali lagi, berlakulah pembaziran. Larangan membazir ini boleh kita lihat di dalam Surah al-Israa’ melalui firman Allah yang bermaksud:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.” (Surah Al-Israa' 17:26)

Kesimpulannya, dalam menangani krisis kos hidup yang tinggi ini, marilah kita sama-sama lebih berhemah dalam melakukan pembelian. Berfikirlah sehabisnya sebelum melakukan apa-apa pembelian.

Janganlah terlalu seronok memilih barangan sehingga kita lupa dengan keperluan dan kemampuan kewangan kita yang sebenar.


Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected]

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen