Tulisan ini adalah susulan daripada artikel terakhir kami, yang telah diterbitkan baru-baru ini oleh beberapa media dalam talian, bertajuk 'Bagaimana Untuk Mencapai Perpaduan Negara'.
Ia ditulis dalam bahasa yang sederhana untuk disasarkan kepada rakyat daripada semua kaum untuk melakukan peranan mereka di pelbagai tempat awam (seperti di jalan raya, pusat-pusat membeli-belah dan premis-premis pekerjaan) serta di dalam acara-acara (seperti rumah terbuka dan sukan) di mana kita cenderung untuk berinteraksi atau berkumpul untuk mencapai muhibah dan keharmonian yang diingini.
Ramai yang mengambil mudah kepentingan perpaduan negara. Setakat ini, hampir tidak ada artikel komprehensif yang ditulis mengenai perkara ini untuk negara kita Malaysia.
Kita memerlukan perpaduan nasional atas pelbagai alasan-alasan yang penting dan serius.
Artikel ini berhasrat untuk menghuraikan alasan-alasan tersebut dengan lantang dan jelas, terutamanya kepada golongan-golongan pelampau dan fanatik dan kepada mereka yang mewujudkan perpecahan, kebencian atau perselisihan dengan menggunakan perkauman, agama atau jantina, biasanya dengan secara tidak jujur bagi mengambinghitamkan orang lain atau mempermain-mainkan ancaman-ancaman yang tidak wujud untuk menimbulkan ketakutan yang tidak logik dan ketidakjaminan komuniti etnik mereka.
Dengan berbuat demikian (dalam mewujudkan ketidakharmonian), pemimpin-pemimpin taasub tersebut sebenarnya menjejaskan kepentingan komuniti mereka sendiri.
Sebarang perselisihan etnik akan menjejaskan keupayaan negara secara kolektif untuk berkembang dan hidup makmur serta mempertahankan diri seperti yang dinyatakan di bawah.
Oleh itu, setiap komuniti etnik akan menderita dalam situasi konflik tersebut. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Cara paling mudah untuk memahami keperluan perpaduan nasional ini adalah dengan membayangkan bahawa pelbagai kaum di negara kita mewakili bahagian tubuh badan yang berbeza.
Memecahbelahkan (memotong) pelbagai bahagian badan atau memusnahkan satu bahagian tertentu akan membahayakan keseluruhan badan. Apabila sesebuah komuniti menderita atau diprovokasi ke dalam situasi konflik dengan komuniti lain, seluruh negara akan menderita dan tidak akan ada pemenang kecuali golongan yang mementingkan diri sendiri dan pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab ke atasnya.
Merujuk kembali kepada sejarah negara kita, kita tidak sepatutnya lupa bahawa nenek moyang kita telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 tanpa sebarang pertumpahan darah disebabkan oleh kematangan mereka untuk bersatu dalam perundingan dengan kerajaan British.
Dengan semangat perpaduan yang sama, Tanah Melayu pada tahun 1963 turut mengalu-alukan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura (yang kemudiannya keluar pada 1965 disebabkan oleh perbezaan politik dan ekonomi) ke dalam Persekutuan Malaysia.
Perpaduan Negara adalah amat penting untuk Keselamatan Negara kita. Negara yang benar-benar bersatu, yang tidak berpecah-belah, lebih mampu mempertahankan dan melindungi dirinya daripada sebarang ancaman luar. Ini adalah kesimpulan artikel bertajuk "Keselamatan Negara & Perpaduan Negara: Kes untuk Perkhidmatan Wajib" yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Badan Pemikir AS terkemuka, Council on Foreign Relations (CFR).
Sebagai sebuah negara yang agak kecil, rapuh dan mudah terjejas dengan hanya 32 juta rakyat, yang telah banyak kehabisan sumber-sumber aslinya, kita perlu lebih mengharapkan kepada sumber manusia (rakyat) untuk lebih bersatu dan bersepadu agar kita lebih cekap dan produktif, yang kemudiannya akan membolehkan ekonomi kita bertahan dan berkembang dengan lebih baik dalam dunia yang sangat kompetitif dan global ini.
Pelancongan, sebagai sektor ekonomi utama yang akan membawa pendapatan asing yang besar dan mengukuhkan pertukaran asing kita, akan pulih dan berkembang dengan lebih pesat dalam persekitaran budaya yang kondusif dan harmoni.
Perpaduan Nasional juga boleh membantu memperlahankan dan menghalang bakat-bakat (tenaga mahir) kita daripada meninggalkan negara kita. Tanpa bakat-bakat sedemikian yang mampu menggalakkan inovasi dan kreativiti, pertumbuhan ekonomi kita tidak dapat dikekalkan.
Bagi menangani Kemiskinan dengan lebih cekap, Perdana Menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa kita memerlukan perpaduan nasional untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini, yang nampaknya menjadi fokus utama Kerajaan Perpaduan sekarang.

Antara tujuan lain perpaduan negara adalah untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua kaum dan untuk mendapatkan Kebahagiaan yang lebih besar yang timbul daripada keharmonian budaya. Kebahagiaan juga dikaitkan dengan kesihatan dan kesejahteraan kita.
Untuk kelestarian perpaduan nasional, ia mestilah berasaskan keadilan sosial, kesaksamaan, saling menghormati, berbudi bahasa, integriti, ketelusan dan menggunakan pendekatan inklusif untuk memberi keutamaan kepada semua yang memerlukan bantuan, tanpa mengira etnik.
Untuk menangani pelbagai punca perpecahan di negara kita, kita perlu merombak sistem pendidikan kita dengan cara yang adil untuk memulakan perubahan positif yang diperlukan.
Mentransformasikan sistem pendidikan kita untuk menjadi lebih progresif, holistik, mampan, produktif dan selaras dengan standard pendidikan antarabangsa (namun relevan dengan negara kita) mungkin mengambil sedikit masa dan bukan mudah untuk melakukannya. Ia mungkin teramat sukar dengan banyak rintangan untuk melakukan perubahan dan ia memerlukan banyak sokongan politik dan keazaman untuk mengatasinya.
Kesimpulannya, perpaduan negara adalah asas untuk kelangsungan hidup dan kemajuan kita sebagai sebuah negara berbilang kaum, yang mesti kita usahakan untuk memperkukuhnya walau dengan apa cara sekalipun.
Sebarang percubaan untuk memecahbelah dan menjejaskan perpaduan nasional kita adalah suatu pengkhianatan, bertujuan untuk memusnahkan asas kukuh untuk pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan keselamatan negara kita.
HEIDI YOUNG & VANESSA WONG adalah Pegawai Think Tank Jukenworld, sebahagian daripada Kumpulan Ipech Museum, Kuala Lumpur dan boleh dihubungi melalui e-mel: [email protected].
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

