malaysiakini logo
story-image
ADS

SURAT | Dua puluh empat tahun lalu, ketika anda dipecat, berlaku kecoh di dalam rumah kami. Di antara Ummi dan Ayah, mereka berbual tentang sesuatu yang aku tidak faham.

Mereka bercakap tentang salah laku seks dan perebutan kuasa. Saya dan adik tidak tahu apa yang mereka perkatakan.

Semasa menonton TV, Ayah khusuk mendengar perkembangan semasa kes anda. Sesekali Ayah dan Ummi menggeleng kepala menandakan mereka sukar menerima khabar-khabar yang disampaikan.

Tidak lama kemudian Ayah menyuruh kami bersiap-siap. Rupa-rupanya dia mahu membawa kami ke pondok Almarhum Sheikh Niamat Yusoff di Derang. Saya - seperti selalu - apabila ada kaitan dengan Abim, memang keberatan nak pi.

Tapi apa kan daya, kerana takut tinggal berseorangan di rumah, terpaksalah mengalah juga.

Malam tu kereta penuh berjajaran di tepi jalan. Kebetulan kami sampai awal, maka tidaklah jauh untuk menapak ke tempat yang dituju. Kami juga sempat berjemaah bersama warga pondok dan beberapa pucuk pimpinan Abim semasa itu.

Buat pertama kali saya melihat lautan manusia di dalam dewan pondok tersebut. Dan saya masih lagi tidak mengerti, program apa sebenarnya dikendalikan Abim di situ?

Berbincang di meja makan

Ketika saya melayan rasa gelisah dan cemuih, laungan takbir dan reformasi bergema mengiringi suatu susuk yang masuk ke dewan. Nampaknya dia ialah susuk sama yang saya lihat di dalam TV tadi.

Apabila para pimpinan Abim berdakap erat dengan anda, saya masih belum mengerti.

"Apakah semua ini? Ceramah agama atau apa?" bisik hati saya.

Selepas beberapa pemimpin Abim mengambil giliran berucap, anda pun berucap. Anda kelihatan begitu bersemangat bersyarah sambil memberikan penerangan pada setiap apa yang berlaku.

Saya melihat wajah-wajah yang ada begitu tekun mendengar ucapan anda.

Sejak hari itu, saya sering melihat ayah membawa pulang tabloid Harakah untuk mengetahui perkembangan terkini kes anda. Di meja makan Ayah dan Ummi akan berbincang itu ini.

Segala kisah anda sejak zaman muda - seperti demontrasi Baling - diceritakan. Ayah memang sebahagian daripada peserta unjuk rasa di Baling itu.

Daripada perbualan Ayah dan Ummi, saya mendapat tahu mereka adalah bekas anak murid anda. Dan segala idea dan fikrah anda menjadi panduan buat mereka.

Betul, kuat sungguh pengaruh anda kepada kedua ibu bapa kami. Malah di atas keyakinan itulah mereka menjadi aktivis dakwah sehingga kini, dan kami berdua anak mereka adalah lahir dari generasi dakwah yang anda tinggalkan.

Setiap program yang berkaitan dengan anda, pasti Ayah akan ada waima program tertutup. Dan setiap kali itulah - apabila pulang - dia akan bercerita apa yang berlaku kepada kami sekeluarga.

Segala idea, pandangan dan lontaran anda, Ayah akan kongsikan walaupun kami berdua tidak faham.

Koleksi buku anda pula pasti tidak terlepas daripada menjadi koleksi ayah. Segala ucapan anda semasa di dalam Abim pasti akan ayah simpan.

Pada satu hari ayah membawa pulang borang parti Keadilan untuk diisi. Ayah dan Ummi mengisinya, maka rasmilah mereka berdua menjadi sebahagian daripada ahli parti anda.

Itu juga bermakna bermulalah episod hitam kami.

Sejak beberapa pilihan raya umu dulu Ayah menginfakkan tenaganya untuk politik yang anda sebelahi. Bermula dengan Barisan Alternatif, kemudian Pakatan Rakyat (Pakatan) dan sekarang Pakatan Harapan, Ayah menjadi sukarelawan.

Ayah juga sering membawa kami menghadiri ceramah politik. Dari situlah bermulanya era polis menelefon ke rumah kami bertanya tentang Ayah. Kami percaya mereka anggota polis Cawangan Khas.

Tetap jalankan dakwah

Kerana keyakinan dan perjuangannya juga Ayah pernah terkepung oleh gas pemedih mata. Kejadian itu berlaku di Malau, Jitra.

Dalam kejadian lain Ayah pernah melarikan kami daripada ketegangan ceramah di Kampung Tok Kesop. Ketika itu anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihantar untuk menyuraikan ceramah politik.

Rumah kami juga pernah dijadikan pusat sumber tenaga untuk khemah-khemah panas semasa kempen PRU. Semasa itu ramai kenalan Ayah belum tahu dia merupakan ahli PKR.

Ayah seorang ahli pasif, berahsia dan sentiasa tenang.

Apabila Pakatan pecah, barulah ada yang mula tahu status Ayah. Bermulalah sesi perli-memerli Ayah. Ayah pernah dihina sebagai "barua Anwar" namun dia tetap dia yang tenang.

Ayah meneruskan kerja-kerja dakwah dalam 'jemaah' itu.

Sebagai anak, aku melihat apa yang berlaku hari ini adalah kesinambungan perjuangan Ayah dan Ummi yang berdoa serta bersungguh-sungguh mahu melihat anda menjadi perdana menteri untuk merealisasikan segala gagasan yang pernah anda lontarkan ketika mereka muda dulu.

Haruslah anda laksanakan apa yang diharapkan mereka itu. Jika tidak, musnah dan berkecailah hati pemilik kasih hati kami.

Hari ini saya tahu, Ayah dan Ummi adalah antara jutaan orang yang menarik nafas puas dan lega.

Kerana itu, walaupun saya dan adik memiliki kiblat politik yang berbeza, kami masih 'tumpang syok' juga. Tolong, jangan kecewakan mereka.


AFIF BENTALIB ialah budak kecil pada 24 tahun lalu yang menjadi saksi seorang manusia yang pernah lebam matanya, serta babak mengusung tilam ke sana-sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen