malaysiakini logo
story-image
ADS

Pornografi bukanlah suatu yang asing lagi. Masyarakat kini mampu mengakses laman web lucah dengan mudah kerana dunia di hujung jari saja. 

Pelbagai video lucah yang mudah untuk dijumpai di internet membuatkan minda masyarakat semakin tercemar dengan imaginasi, dan pengisian yang merosakkan minda. 

Ramai yang tidak menyedari dengan bahayanya pornografi terhadap minda serta boleh memudaratkan tubuh badan.

Walaupun kerajaan banyak menyekat beberapa lawan web lucah, terdapat banyak lagi cara lain untuk mengakses laman web tersebut. 

Malaysia teratas di Asia

Salah satu caranya dengan menggunakan Virtual Private Network (VPN). Aplikasi ini berfungsi untuk menyembunyikan identiti, lokasi dan aktiviti dalam talian.

Satu laman pornografi terkenal dunia, Pornhub, mendedahkan bahawa masyarakat Malaysia menduduki tangga teratas di Asia dalam melayari laman web lucah tersebut. 

Lebih memalukan lagi, laman pornografi itu juga mendedahkan Malaysia menduduki tangga keempat di peringkat dunia. 

Kesan yang boleh didapati oleh golongan yang ketagih dengan bahan pornografi ini dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang terutamanya terhadap minda mereka. 

Dalam kalangan rakan-rakan penulis sendiri, yang usia mereka kebanyakannya masih muda, tidak dapat berhenti daripada menonton video-video lucah. 

Dan ada dalam kalangan mereka yang “resah” apabila tidak dapat menikmati bahan-bahan lucah tersebut setiap hari. 

Seseorang yang ketagih dengan pornografi semestinya akan mencuba untuk memuaskan nafsu dengan melanggan lawan web pornografi premium dengan membayar wang yang banyak.

Menurut Ketua Seksyen Psikoterapi dan Intervensi Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia, Dr Siti Fatimah Abdul Ghani, tabiat itu mengganggu kelancaran hubungan intim pasangan berkahwin. 

Sebagai contoh, nafsu suami ketagihan pornografi akan terjejas jika kerap melakukan onani.

Golongan ini lebih memilih untuk memuaskan nafsu serakah mereka dengan menonton pelbagai genre yang mereka minati sama ada yang bersifat songsang, ganas dan paling menyedihkan yang melibatkan pornografi kanak-kanak. 

Banyak kejadian dalam berita seperti sumbang mahram khususnya kepada anak-anak kecil yang masih bersekolah. 

Baru-baru ini, suatu kejadian dilaporkan melibatkan seorang bapa yang merogol anaknya sejak empat tahun lalu dari umurnya 11 tahun.

Kejadian tersebut adalah tragedi yang amat memilukan dan penulis tidak dapat bayangkan kesengsaraan yang perlu dihadapi anak yang tidak bersalah itu. 

Oleh itu, ketagihan pornagrafi sangatlah memberi kesan yang buruk terhadap minda seseorang malah boleh merosakkan tingkah laku yang dianggap luar kebiasaan daripada norma masyarakat. 

Jika anda merupakan salah satu daripada individu yang ketagihan pornografi, penulis mengesyorkan untuk segera mendapatkan bantuan sebelum terlambat.


AWANG MUHAMMAD SYAHMI AWANG HASSANAL ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen