malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | Belanjawan 2022 tidak tekankan pendidikan digital pasca Covid-19
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat lalu.

Abim menegaskan menerusi pembentangan belanjawan tersebut, terdapat beberapa perkara asas yang perlu ditekankan terutama dalam memasuki era pasca Covid-19.

Antara perkara utama adalah tentang perancangan masa hadapan untuk pendidikan digital bagi murid sekolah. Abim merujuk kepada Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada akhir September lalu.

Ia antara lain telah memuatkan hasrat untuk meningkatkan pendidikan digital. Bagaimanapun, renungan terhadap pembentangan Belanjawan 2022 tidak memperlihatkan terjemahan kepada hasrat tersebut.

Hal ini amat menggusarkan memandangkan dalam dasar MyDigital turut menyebut perancangan untuk memperkenal program "My Device" untuk memastikan semua murid di Malaysia mendapat akses kepada pembelajaran digital.

Abim juga berpandangan bantuan awal persekolahan yang dinaikkan kepada RM150 dan bantuan peralatan PdPR kepada guru sebanyak RM100 merupakan suatu yang penting bagi membantu mengurangkan beban murid dan mengiktiraf tugasan guru sepanjang dua tahun kesan penutupan sekolah.

Walhal, semua maklum bahawa nilai sebenar wang sendiri yang telah dibelanjakan untuk pembelajaran anak-anak murid adalah jauh lebih besar.

Namun perkara asas yang disebut selama ini perlu diberikan perhatian serius, iaitu perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah kemiskinan digital.

Laporan Kementerian Pendidikan sendiri telah memaklumkan bahawa murid yang tiada peranti mencecah 36.9 peratus, sama ada di bandar dan di luar bandar.

Abim menegaskan, memasuki era pasca Covid-19 tidak bermaksud kita merencatkan perancangan pendidikan digital tetapi harus diupayakan perancangan tersebut sebagai persediaan menghadapi situasi norma baru dan cabaran mendatang yang lebih besar.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ adalah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen