Pengiklanan

    Menteri tak matang dakwa Kelantan di zaman gelap - Ikatan

    (Dikemaskini )
    Shahir Adnan  |  Surat

    Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyelar kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng merangkap setiausaha agung DAP, yang mengatakan bahawa Kelantan di bawah kerajaan PAS seolah-olah berada di zaman gelap atau dark age.

    Dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah portal berita Free Malaysia Today, Lim turut menyindir bahawa perkara moden di Kelantan hanyalah kereta Mercedes Benz.

    Kenyataan-kenyataan sebegini jelas tidak menunjukkan kematangan seorang menteri kanan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Selain itu, kenyataan beliau yang mengatakan bahawa kerjasama Umno-PAS sebagai Muslim-dominated government seakan-akan menakut-nakutkan rakyat Malaysia beragama lain.

    Walhal di Kelantan masyarakatnya yang terdiri daripada berbilang kaum Melayu, Cina, India, dan Siam, hidup dengan aman dan bersatu padu sejak PAS memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang itu selama lebih 22 tahun.

    Perpaduan di Kelantan jelas terlihat apabila kaum Melayu, Cina, India dan Siam fasih bertutur Bahasa Melayu dialek Kelantan dan tidak segan silu bersama-sama menikmati budu dan nasi berlauk yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu Kelantan.

    DPIM menggesa DAP supaya cermin diri sendiri sebelum membuat tuduhan bahawa sesuatu gabungan politik itu bakal menjadi mudarat kepada rakyat Malaysia.

    Kalaulah DAP sebagai sebuah parti yang mempunyai semangat Bangsa Malaysia, kenapakah ahli jawatankuasa pusat DAP didominasi oleh 24 orang berbangsa Cina daripada jumlah keseluruhan 30 orang, ataupun 80 peratus.

    Selebihnya, empat orang India (13 peratus), manakala kaum Melayu sekadar dua orang atau tujuh peratus. Padahal demografi penduduk Malaysia adalah 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina manakala 10 peratus India.

    Diharapkan setiausaha agung DAP ada jawapannya.

    DPIM menggesa menteri kewangan untuk memberikan fokus kepada ekonomi negara, bukannya meluangkan masa berpolitik yang tidak habis-habis.

    Nilai ringgit harus diperkasakan, pelaburan asing harus dibawa masuk, pasaran saham harus diperkukuhkan, hutang negara harus diturunkan.

    Sehingga hari ini, hutang negara makin bertambah daripada RM 686 Bilion sebelum PRU14 kepada hampir RM800 bilion hari ini. Alangkah baiknya menteri kewangan fokus kepada kerja core business beliau untuk menguatkan ekonomi negara.


    SHAHIR ADNAN ialah ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih