malaysiakini logo
story-image
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menolak sekeras-kerasnya Pelan Damai Israel-Palestin ciptaan Amerika Syarikat yang telah membelakangkan sentimen dan harapan masyarakat antarabangsa untuk melihat hak Palestin menjadi sebuah negara merdeka di tanah yang dijajah Israel tercapai.

Memetik laporan Washington Post bertarikh 28 Januari 2020, pentadbiran Amerika menerusi Donald Trump dan penasihatnya Jared Kushner berhasrat untuk memberi lampu hijau kepada Israel untuk meluaskan pendudukan haram di wilayah Tebing Barat serta mengakui kawalan keselamatan Israel di beberapa wilayah yang dirampas sejak tahun 1967. Ini termasuklah dengan tanpa rasa sensistif mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Amerika Syarikat telah dengan sengaja menutup mata untuk melihat punca sebenar konflik ini berlaku iaitu penjajahan haram Israel ke atas tanah Palestin yang wajib diselesaikan terlebih dahulu.

Ini juga yang dinyatakan oleh John Kerry pada 2013 di sidang Kongres Amerika Syarikat bahawa pelan perjanjian damai Israel-Palestin terhalang ekoran tindakan jahat Israel yang menceroboh tanah rakyat Palestin sewenang-wenangnya.

Abim menegaskan Amerika Syarikat wajib hormat dan tunduk kepada desakan masyarakat antarabangsa menerusi beberapa resolusi penting PBB yang mahukan penjajahan Israel ke atas tanah Palestin ditamatkan. Antara resolusi terpenting termasuklah Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 yang dikecapi pada 23 Disember 2016.

Dalam masa sama, Abim menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk segera bertindak ke atas Israel yang secara berterusan melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB tersebut yang secara jelas menyatakan bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 termasuk di Timur Jerusalem adalah haram dan melanggari undang-undang antarabangsa.

Perkembangan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa ICJ baru-baru ini dalam mewajibkan “provisional measures” ke atas Myanmar untuk memelihara hak asasi etnik Rohingya sepatutnya dicontohi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk pihak pendakwaan OTP untuk memulakan siasatan berdasarkan jenayah yang dilakukan Israel bertepatan dengan Artikel 15 (1) Statut Rome..

Abim turut menyeru pemimpin dunia untuk bangkit menentang pengkhianatan ini menerusi Persidangan Tahunan Kali ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds di One World Hotel, Petaling Jaya pada 8-9 Febuari 2020.

LP4Q adalah kumpulan bebas antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2015 yang bertujuan mengaktifkan peranan anggota Parlimen dalam menyokong hak asasi manusia Palestin mengikut undang-undang antarabangsa.

Selain itu, LP4Q bekerjasama dengan ahli-ahli Parlimen dari seluruh dunia untuk perundingan, koordinasi dan kerjasama mengenai isu-isu Palestin.

LP4Q telah berkembang sejak 2015 daripada 125 ahli parlimen di 25 negara, kepada 700 ahli parlimen di 70 buah negara pada 2018 dan kira-kira 3,000 ahli Parlimen telah menandatangani Ikrar Al-Quds/Baitulmuqaddis.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen