malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Keyakinan rakyat bergantung pada peralihan kuasa, kes Najib, manifesto
ADS

Negara kita telah ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018 dan perubahan ini telah membuktikan rakyat menolak kerajaan BN sekeras-kerasnya.

Beberapa pihak yang tidak dapat membezakan kesahihan sesuatu berita yang dimainkan oleh pihak pembangkang juga sering kali termakan dengan agenda politik kotor serta fitnah yang dimainkan oleh pembangkang terhadap kerajaan PH.

Namun, pelbagai isu yang telah berbangkit baru-baru ini, menampakkan rakyat kurang keyakinan dengan urus tadbir kerajaan PH yang telah memegang kerajaan selama ini.

Tetapi ini tidak bermaksud rakyat juga menolak kerajaan Pakatan Harapan dan mahukan kerajaan BN yang penuh dengan pemimpin kleptokrasi untuk diberikan peluang untuk mentadbir negara semula.

Apa yang rakyat mahukan kini adalah sama ada untuk percepatkan manifesto, merealisasikan laungan “Hari ini PH menang, esok Najib masuk penjara” atau percepatkan penyerahan kuasa perdana menteri kepada pemimpin yang seterusnya selepas dua tahun seperti yang dijanjikan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Perkara-perkara ini dijangka mampu membetulkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang dianggap tidak betul namun bergantung kepada bagaimana pengganti jawatan itu memainkan naratif.

Lima kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) juga memberi gambaran bahawa prestasi PH kini berada di tahap membimbangkan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bukan itu sahaja, penangkapan beberapa ahli Bersatu termasuk seorang wakil rakyat dan pegawai khas kepada menteri belia dan sukan baru-baru ini juga telah lebih memberi imej yang buruk terhadap pentadbiran PH.

Kita sedar bahawa untuk membuktikan kesalahan Najib Razak dalam isu 1MDB, ia bukanlah suatu perkara yang akan berlaku semalaman atau sehari dua.

Malah sebagai sebuah kerajaan yang berprinsipkan dengan kedaulatan undang-undang mahkamah kita harus memberi peluang supaya Najib Razak dapat mempertahankan dirinya sehingga beliau benar-benar sudah tidak ada bukti untuk mempertahankan dirinya.

Manifesto PH pula bukannya satu atau dua, tetapi masih terdapat beberapa manifesto yang masih tidak dapat dilaksanakan akibat daripada penyelewengan kewangan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

Bagaimanapun banyak janji gabungan PH telah dicapai dan selebihnya akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Satu-satunya perkara yang dapat memberi impak besar adalah peralihan kuasa.

Apabila kita membuka laman media sosial juga, kita boleh mendapati ramai pengguna yang menuntut agar Mahathir meletakkan jawatan atau menyerahkan baton kepada Anwar Ibrahim agar pengganti beliau diberi peluang untuk membuktikan dalam merealisasikan baki manifesto yang masih belum dilaksanakan.

Dr Mahathir juga telah memberi kenyataan untuk menyerahkan baton kepada Anwar selepas Sidang Kemuncak Apec. 

Oleh itu, semua rakyat juga digesa untuk tidak menyoalkan mengenai peralihan kuasa ini seperti mana yang dijanjikan oleh Tun iaitu selepas November, tidak lama lagi dari sekarang.

Ia merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan kerajaan yang korup tidak diberi peluang lagi, dan juga memastikan agar peraturan undang-undang negara kita sentiasa ditegakkan.


MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ ialah pegawai khas Chong Eng, exco kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen