malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada mulanya saya berniat untuk menuliskan surat ini di dalam bahasa Inggeris kerana saya rasa, Siti Kasim dan konco-konconya akan faham dengan mudah dalam bahasa penjajah.

Tetapi bila saya fikir balik, saya persetankan sahaja niat mendodoikan mereka. Kenapa saya perlu berkompromi dengan mereka sedangkan merekalah yang sepatutnya merasa malu jika tidak boleh memahami dan menulis bahasa kebangsaan dengan baik?

Saya terpaksa tulis surat ini kerana semua orang membisu bila mereka bersuara. Kenapa kita kena biar mereka terus megah dengan kebenaran yang dia sendiri cipta sedangkan betapa ramai Melayu terlalu tidak setuju dan bengang dengan kenyataan-kenyataan berat sebelahnya?


Baca tulisan Siti Kasim: What is education? A rebuttal to a misguided priority


Siti Kasim hanyalah simbol, di belakangnya ialah suara islamofobia yang cukup kuat berdengung. Mereka pun tiba-tiba sahaja kuat bersuara. Dahulu mereka di dalam gua, takut kerana kerajaan dulu pantang melihat suara-suara sumbang, disumbatnya ke dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (Isa) atau (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

Namun majoriti Melayu-Muslim harus berhati-hati. Suara mereka walaupun sedikit tetapi bingit, dan bingitnya itu boleh sampai ke pejabat menteri, dan boleh sampai ke pejabat perdana menteri.

Beritahu saya, mereka bersuara tentang buruknya prestasi menteri perpaduan kita? Mereka bersuara tentang teruknya belanjawan pendidikan yang senang sahaja dibahagi-bahagikan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina?

Mereka bersuara tentang si P Ramasamy yang mulutnya macam longkang menghina dan berkali-kali menyuruh Zakir Naik dibawa pulang ke India?

Jawapannya, tidak!

Mereka membisu. Mereka tak peduli kebobrokan itu semua. Mereka cuma mahu peduli tentang semua yang berkaitan dengan agama rasmi kita, iaitu agama Islam sahaja. Perkataan “Islam” dan “Maszlee” bagaikan hantu yang menghantui.

Mereka ialah islamofobia dan Maszleefobia.

Sebab itulah saya tekankan, kita, Melayu-Islam, perlu bersuara. Lawan suara-suara liberal totok ini, lawan sehingga mereka tahu di mana mereka. Ini seolah-olah negara ini mereka yang punya.

Lihat ranking universiti tempatan kita, bukan tak naik, bahkan sudah termasuk dalam 20 teratas.

Ketika mantan menteri pendidikan kesayangan guru-guru kita Dr Maszlee meletakkan jawatan pada 2 Januari yang lalu, saya sudah lama tertanya-tanya, kenapa Maszlee? Kenapa bukan P Waythamoorthy? Kenapa bukan Mohammadin Ketapi?

Lama saya merenung. Selepas netizen membisingkan isu YTL, akhirnya saya melihat ada kesinambungan jelas tentang serangan halus ini.

Mereka bergabung dengan kelompok rasis Dong Zong (memetik label yang digunakan perdana menteri, bukan menteri agama), menubuhkan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) yang diketuai Arun Doraisamy, menunggang isu Jawi untuk meneruskan agenda memisahkan agama dari pentadbiran negara.

Kini, isu Jawi tidak lagi timbul, kerana apa?

Kerana isunya bukan Jawi, isunya cuma “Maszlee”. Ingat; M.a.s.z.l.e.e.f.o.b.i.a.

Tetapi Maszlee masih hidup, jadi mereka masih mempunyai motivasi untuk terus bekerja.

Yang kesalnya, suara mereka telah berjaya mempengaruhi penasihat-penasihat perdana menteri, hingga akhirnya menasihati menteri pendidikan kita untuk meletakkan jawatan dengan segera. Ini yang saya perhatikan. Kerana kaitannya terlalu ketara.

Pada 31 Disember, Rafidah Aziz, orang kuat PM, mengeluarkan kenyataan menyelar Maszlee kerana terlalu fokuskan isu-isu remeh seperti khat, sedangkan pada waktu yang sama, Maszlee ialah menteri pertama yang bentangkan kad laporan kementerian dan berjaya menyudahkan 90 peratus projek sekolah daif. Ini yang Rafidah kata perkara remeh?

Ya, dia tak pernah rasa bersekolah di bawah atap berlubang, dinding retak dan kerusi patah.

Di tarikh yang sama juga, Kadir Jasin menyelar Maszlee kerana meletakkan gambarnya di billboard mempromosi kempen membaca. Kata Kadir, yang harus dikedepankan ialah mesejnya (walaupun jelas tertera perkataan BACA), bukan orangnya. Tetapi saya lihat, Kadir cuma fobia melihat Maszlee. Sebab itu berkali-kali Kadir menyerangnya.

Beritahu saya, apa salah menteri pendidikan sehingga dinasihatkan untuk meletakkan jawatan?

Ya, salahnya cuma satu; menjadi islamis, tidak liberal seperti mereka. Di Malaysia Baru, menjadi islamis ialah dosa besar.

Saya tidak pasti dan resah. Terkorbannya Maszlee seolah-olah terkorbannya nasib Melayu. Menteri perpaduan yang lebih gagal dari nasi lemak (kerana nasi lemak boleh menyatukan kita semua berbanding Menteri) masih lagi menjadi menteri walaupun setiap hari netizen berwirid agar beliau berundur.

Yang jaga Melayu, terkorban. Yang benci Melayu, simpan.

Malaysia Baru?


FAKRI YAHYA ialah seorang penyokong Maszlee Malik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen