malaysiakini logo
story-image
ADS

Riuh rendah sehari dua ini dengan gelagat Mahathir Mohamad, PH kerajaan sepenggal dan kemasukan PAS dalam kerajaan.

Ini hanya muslihat Mahathir untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar, menambah tempoh tol dan menambah tempoh PM.

Kimanis sekali lagi mesej jelas rakyat menolak PH dan PM. Beliau sedar kejutan Kimanis seperti mana juga kejutan Tanjung Piai boleh menamatkan tempoh beliau sebagai PM.

Makanya isu kerajaan sepenggal dan PAS dalam kerajaan dihangatkan untuk alih isu sebenar yakni tempoh PM yang seharusnya tamat.

Konsesi tol yang ditambah tempoh 20 tahun juga isu sebenar rakyat. Isu ini mesti ditenggelamkan supaya rakyat alpa dan kroni Mahathir terus mendapat laba berbilion dalam tempoh tambahan 20 tahun itu.

Konsesi ini dimulakan di zaman Mahathir perdana menteri keempat selama 30 tahun dan sekarang di zamannya perdana menteri ketujuh, tambahan 20 tahun.

Kroni Mahathir telah mengaut berbilion keuntungan daripada tol dibayar rakyat 30 tahun dan akan mengaut berbilion lagi dalam tempoh tambahan 20 tahun.

Ini isu sebenar rakyat. Ditipu oleh pemimpin yang sama berpuluh-puluh tahun dengan harga dibayar rakyat berpuluh-puluh bilion untuk mengkayakan beberapa kerat kroni pemimpin.

Rakyat jangan mudah tertipu dengan muslihat ini. Agenda sebenar adalah menambah tempoh kuasa untuk menambah tempoh konsesi dan berbagai lagi langkah menjadikan si kaya terus kaya dan si miskin papa kedana.

Saya hairan melihat kawan-kawan saya yang lantang menentang ketidakadilan sosial paling mendasar ini semasa tidak berkuasa tetapi sekarang diam membisu mengiyakan dasar zalim ini di dalam kabinet.

Saya juga pernah berada didalam kerajaan tetapi saya bertindak segera meletak jawatan apabila kepincangan berlaku. Jawatan hanya alat berjuang atau jawatan alat untuk cari wang?

Tidak mengapalah takut hilang pencen kalau lepas jawatan sekarang tapi sekurang-kurangnya bangkitlah tegur PM ini yang bukan sahaja tidak berubah malah semakin galak dengan dasar pro si kaya dan anti si miskin.

Kita jangan jadi si tolol, ditipu berkali-kali oleh pemimpin yang sama. Isunya adalah tempoh tol dan tempoh PM. Isu lain adalah picisan dan muslihat si diktator tua keparat yang tidak pernah serik menipu rakyat.

Kita jangan sampai dikenang menjadi rakyat tolol membayar tol dari mula hidup sampai ke mati.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen