malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Masih aku ingat pada pagi 10 Oktober yang lalu, ketika kami berbicara berkenaan urusan parti dan sambutan Deepavali, langsung tidak terdetik di dalam hati bahawa perbualan telefon itu adalah yang terakhir, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Alangkah terkejutnya aku apabila tidak sampai satu jam perbualan kami berlalu, aku digemparkan dengan penahanan sahabat yang menjadi perangsang kepada penglibatanku dalam dunia politik. Dia insan biasa yang pada hematku amat komited dan berdedikasi untuk melihat Malaysia ini berada dalam keadaan yang lebih baik.

Dan aku sama sekali tidak pernah menjangka penahanan itu akan berlarutan sehingga 100 hari. Di peringkat awal, aku yakin dia akan dibebaskan pada bila-bila masa, sepertimana seorang tertuduh yang biasa. 

Bak kata idolaku Tey Kok Kiew, kita semua tidak pernah mengangkat senapang, mahupun melontar bom ketika membincangkan hal ehwal negara, tetapi berbekalkan pen dan kertas sahaja.

Aku yakin, PRU lalu akan tersimpan sebagai detik indah sepanjang hidupnya. Kemenangan di kerusi yang agak mustahil untuk dirampas daripada rejim kleptokrat akhirnya menjadi kenyataan. Aku yakin benar dia mampu lakukan yang terbaik untuk rakyat di kawasan DUN yang diwakilinya, iaitu Gadek di Melaka, walaupun apabila bergelar Yang Berhormat memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

Aku amat senang sekali bekerja dengan susuk ini dan sememangnya dia seorang ketua yang bertanggungjawab kepada anak-anak buahnya. Aku masih ingat, ketika aku hadir ke satu ceramah kecil ketika kempen PRU ke-14 di kawasan yang ditandinginya, aku diberi peluang untuk berceramah dan aku telah nyatakan kepada hadirin di situ, percayalah bahawa Saminathan adalah pilihan terbaik berdasarkan gerak kerja yang telah dilakukannya sebelum ini sebagai pemimpin DAP peringkat negeri.

Aku tidak akan berada di tempatku sekarang tanpa sokongan dan dorongannya. Aku masih ingat jasanya satu ketika dahulu apabila dia pernah datang menjemputku di rumah dan kami akan bergerak ke program parti secara bersama. 

Ketika itu kenderaan aku masih rosak dan belum sempat dibaiki. Saminathan yang aku kenali adalah seorang yang mudah didekati, mudah mesra dan sangat merendah diri serta tidak pernah lupa akan orang di sekelilingnya. Program pertama yang kami rencanakan adalah program larian anak muda yang berjaya dilaksanakan dengan baik sungguhpun dengan pelbagai rintangan.

Bergelar Yang Berhormat bukan alasan untuknya bermewah dan meninggi diri. Ketika aku hadir ke satu majlis rumah terbuka satu perayaan, dia turut beratur bersama-sama pengunjung lain untuk mengambil makanan. Dia menolak pelawaan tuan rumah untuk duduk di meja yang telah disediakan.

Dia berkata kepada tuan rumah, jika pada satu hari nanti dia tidak lagi bergelar Yang Berhormat, dia tetap akan beratur seperti pada masa itu. Aku yakin bukan mudah untuk mencari seorang yang tidak lupa asal usul mereka dan berpandangan bahawa jawatan adalah sementara sifatnya.

Ketika Melaka dibadai krisis air yang serius baru-baru ini, dia sendiri turun ke rumah-rumah untuk mengagihkan bekalan air. Sekali pandang, pasti kita tidak perasan bahawa dia adalah seorang YB yang turut membantu dan merasai jerih payah penduduk yang terputus bekalan air. Dia meluangkan lebih 12 jam setiap hari untuk memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan jayanya.

Masa berlalu dengan cukup pantas. Tanpa aku sedari, dia telah ditahan selama 100 hari. Pembebasannya amat diharapkan oleh kami khususnya ahli keluarga dan sahabat seperjuangan. Kami tidak pernah putus harapan dan harus terus kuat menerima ujian ini. 

Kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak ada apa yang mampu aku lakukan selain mendoakan kesejahteraannya sepanjang ditahan dan akhirnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Biarpun jasad dipenjara, semangat dan jiwanya bersama kami. Buat semua rakan seperjuangan, jangan menyerah dan mengalah. Perjalanan ini baru bermula dan aku pasti harapannya juga tidak pernah pudar sungguhpun di sebalik tirai besi untuk melihat Malaysia yang kita kongsi bersama ini menjadi lebih baik.


MUHAMAD DANISH ZAINUDIN adalah anggota jawatankuasa DAP Melaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Lihat Komen