malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat yang semakin memuncak dengan pelbagai siri serangan balas jelas memberikan indikator yang tidak baik kepada kestabilan rantau Timur Tengah. Pembunuhan komander tertinggi Iran, Jeneral Qasem Soleimani oleh Amerika Syarikat pada 3 Januari lalu seakan mencetuskan jalan kepada peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat. Ekoran pembunuhan tersebut, Iran secara terbuka telah mengumumkan habuan AS$80 juta untuk “kepala Trump”. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang sejauh mana konflik Iran-Amerika Syarikat mampu mencetuskan perang baharu, namun kebarangkalian tersebut masih ada.

Pada pagi 8 Januari, Iran telah melancarkan beberapa serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Amerika Syarikat di Iraq atas nama Soleimani. Serangan misil telah mengakibatkan kerosakan kepada fasiliti ketenteraan Amerika. CNN News juga telah melaporkan bahawa angkatan ketenteraan Iran yang dikenali sebagai IRGC telah memberikan amaran untuk menyerang mana-mana negara Timur Tengah yang menyediakan bantuan kepada Amerika Syarikat untuk menyerang Iran. Walaupun Trump telah menarik semula kenyataan untuk menyerang tapak kebudayaan Iran, namun Trump turut menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan bertindak sekiranya Iran melakukan “sesuatu yang tidak patut dilakukan”.

Pokoknya, jika berlaku peperangan antara dua kuasa ini, yang akan menjadi mangsa ialah negara-negara di rantau Timur Tengah sendiri. Hal ini kerana wujudnya proksi dan sekutu kepada kedua-dua kuasa di rantau tersebut akan mengakibatkan pergelutan sesama negara di rantau Timur Tengah. Kebarangkalian ini sangat membimbangkan dengan mengambil kira ketidakstabilan geopolitik yang sedia ada di rantau Timur Tengah.

Dunia Islam hari ini sedang bergelumang dalam ketidakstabilan politik, perang saudara, kegagalan instrumen ekonomi, kebergantungan kepada Barat, campur tangan kuasa luar dan rejim autokratik yang tiada berkesudahan terutama sekali di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara. Kesan daripada kebangkitan Arab Spring pada 2010 dan 2011 masih lagi dirasai oleh negara-negara terlibat sama ada secara positif atau negatif.

Di Syria, ratusan ribu nyawa telah terkorban ekoran konflik berdarah yang berterusan antara pemerintah dan rakyat. Libya, Yaman dan Syria telah menjadi negara gagal (failed state) kerana kemusnahan yang berlaku terhadap institusi-institusi penting sehingga memburukkan ketidakstabilan di negara mereka. Proses pemulihan dan pembaikan institusi akan mengambil tempoh masa yang panjang. Kegagalan Libya juga telah menggerakkan campur tangan dan bantuan daripada United Nations' Mission for Libya untuk mengembalikan prinsip undang-undang (rule of law and order) di negara tersebut. Manakala isu Palestin dan Israel terus menemui jalan buntu.

Sejak awal tahun ini, kebarangkalian meletusnya Perang Dunia ketiga sedang hangat dibincangkan di media sosial terutamanya Twitter dengan tanda pagar #WorldWarIII atau #WWIII. Ramai yang begitu teruja untuk mengetahui perkembangan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat dan tidak kurang juga yang seolah-olah mengharapkan perang dunia ketiga akan tercetus daripada konflik tersebut.

Bagi orang-orang yang pernah hidup dalam zaman peperangan, perkataan perang itu sendiri sudah cukup mengerikan. Peperangan merupakan sesuatu yang perlu dihindari bukan dinanti atau diraikan. Pentas media sosial seharusnya dimanfaatkan oleh warga dunia untuk menunjukkan solidariti dan kesatuan atas nama kemanusiaan dan keamanan dengan mengecam tindakan Iran dan Amerika Syarikat daripada mencetuskan peperangan.

Konflik tersebut perlu diselesaikan dengan segera melalui dialog dan perbincangan secara aman. Peranan OIC juga wajar dikaji semula dan ditambah baik bagi meningkatkan keberkesanan fungsi organisasi tersebut untuk membawa kemajuan dan keamanan kepada Dunia Islam serta bebas daripada hegemoni dan pengaruh luar. Organisasi peringkat antarabangsa perlu memainkan peranan dalam menjadi perantara untuk memberikan resolusi terbaik kepada konflik dua kuasa tersebut. Belajarlah dan perhatikanlah daripada sejarah bagaimana peperangan hanya akan mengakibatkan pembunuhan, penindasan dan kemusnahan.

Rujukan: BBC News, CNN politics, The Guardian


MOHAMAD IKA DANIAL ‘ABDULLAH merupakan mahasiswa tahun akhir ijazah sarjana muda sains politik dan presiden Persatuan Mahasiswa Kulliyyah Ilmu Wahyu Islam dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta menjalani latihan industri di bahagian penyelidikan, Parlimen Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen