malaysiakini logo
story-image
ADS

Terbaca berita Merdeka Center for Opinion Research kata sokongan Anwar Ibrahim rendah.

Memang polling ini satu sains yang tidak tepat (unexact science). Saya pernah percayakan Merdeka Center malah melantik mereka membuat kajian di Seri Setia dan kajian awal di Setiawangsa dahulu.

Tapi industri ini memerlukan kredibiliti dan kebebasan. Kredibiliti Merdeka Center rosak waktu PRU14 kerana mereka mahu meyakinkan idea BN hanya boleh dikalahkan dengan gandingan PH-PAS. Malah, antara sebab BN kalah adalah kerana wujudnya tiga penjuru.

Selewat Januari 2018, Merdeka Center masih mengatakan BN akan dapat majoriti dua pertiga sebab tiga penjuru! Pada Mac 2018, Invoke Malaysia meramalkan PH akan dapat lebih kerusi di semenanjung berbanding BN.

Ramai perlekehkan Invoke waktu itu. Tapi ramalan Invoke paling tepat.

Saya tulis perkara ini dalam buku saya 9 Mei 2018: Catatan dari Garis Depan.

Boleh beli buku di Karangkraf Mall:

“Pada 7 Mei 2018, Invoke mengeluarkan tinjauan terakhirnya – yang tegas meramalkan kejayaan Pakatan Harapan. Pakatan Harapan akan memenangi 111 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia manakala Barisan Nasional akan menang 54 kerusi.

“Pakatan Harapan mendahului dalam sokongan di kalangan pengundi Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi Barisan Nasional mendahului tipis di negeri-negeri lain. Dalam PRU 2013, Barisan Nasional menikmati perbezaan sebanyak 30 peratus sokongan pengundi Melayu berbanding dengan Pakatan Rakyat; kali ini tidak ada negeri yang merekodkan Barisan Nasional mendapat sokongan lebih 20 peratus undi Melayu berbanding Pakatan Harapan...

“Ramalan Invoke hanya tersasar besar di Kelantan dan Terengganu. Mereka menjangkakan kedua-dua negeri ini akan dimenangi oleh Barisan Nasional tetapi sebaliknya dimenangi oleh PAS.

“Malah dalam kes Kelantan dan Terengganu, jelas pengundi atas pagar menggunakan pengundian taktikal dalam minggu terakhir kempen; memberikan sokongan kepada PAS (berbanding Pakatan Harapan) kerana secara realistiknya hanya PAS yang cukup kuat (sebagai parti kedua di Kelantan dan Terengganu) untuk menewaskan Barisan Nasional di negeri-negeri ini.

“Begitu juga, pengundi cukup tahu parti mana yang paling kuat untuk mengalahkan Barisan Nasional dalam persaingan tiga penjuru di tempat lain, di mana berlaku pengundian taktikal yang meluas (terutama di kalangan orang Melayu) di seluruh negara,” jelas Rafizi selepas PRU 2018.

Tinjauan optimis Invoke berbeza dengan mana-mana agensi lain. Agensi peninjau BN berada di hujung spektrum berbeza, meramalkan mereka mendapat lebih kerusi yang membentuk dua pertiga majoriti di parlimen yang tidak diperoleh mereka sejak 2008. Ini menjelaskan rasa tidak percaya dan kelumpuhan yang mencirikan maklum balas mereka selepas kekalahan semasa PRU 2018.

Ahli-ahli akademik yang terkenal dalam media arus perdana meramalkan kemenangan mudah untuk Najib Razak dan BN.

Merdeka Center pada Januari 2018 mengumumkan BN akan menang dalam PRU 2018 dan mendapat majoriti dua pertiga di parlimen kerana pertandingan tiga penjuru, persempadanan semula kawasan dan perpecahan pembangkang.

“Prospek pembangkang berada dalam kedudukan tipis hingga sifar kerana pemimpin-pemimpin PAS kelihatan cenderung menghalang kejayaan PH. PAS dilihat bersedia membantu Umno di lapangan untuk menjaga hegemoni politik orang Melayu.”

Kumpulan peninjau ini mengekalkan ramalan mereka bulan April. Dalam tinjauan terakhir yang dibentang pada awal pilihan raya, mereka menunjukkan penyusutan sokongan orang Melayu kepada BN tetapi menyimpulkan ia tidak cukup untuk memenangkan Pakatan Harapan kuasa persekutuan kerana sokongan orang Melayu masih tinggi kepada gabungan parti pemerintah.

Mereka menjangkakan 100 kerusi selamat untuk BN, 83 untuk Pakatan Harapan, dua untuk PAS dan 37 kerusi menjadi rebutan kerana margin kesilapan adalah tiga peratus. Ini termasuk kerusi parlimen Setiawangsa yang saya tandingi.


NIK NAZMI NIK AHMAD ialah anggota parlimen Setiawangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen