malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Pengunduran Maszlee kesinambungan kisah panjang fitnah kuasa dan harta
ADS

Saya teringat bagaimana pada hari beliau mengadakan majlis kesyukuran sempena pelantikannya sebagai menteri pendidikan. Antara bait yang diucapkan ialah: "Doakan supaya kuasa hanya terletak di tangan dan bukan di hati ana”.

Ungkapan tersebut asalnya merupakan sepotong doa Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA, iaitu: “Jadikanlah kami kaum yang memegang dunia dengan tangan kami, bukan hati kami.”

Dua puluh bulan kemudian, politik negara digemparkan dengan “penyerahan” semula jawatan Dr Maszlee Malik kepada perdana menteri yang dibuat atas “nasihat ayahanda perdana menteri."

Ianya satu berita yang mengejutkan ketika kita dilamun nostalgia mengenai kegagalan Malaysia menjadi negara maju pada 2020.

Lebih malang, Malaysia bukan saja gagal muncul menjadi negara maju, malah pada awal 2020 suhu hubungan kaum kekal pada paras yang tinggi, berlawanan pula dengan prestasi ekonomi yang mengecewakan dengan aliran keluar modal asing yang tinggi, serta prestasi pasaran modal FBM KLCI antara yang terburuk di Asia.

Kita juga kehilangan seorang idealis yang diberikan harapan tinggi untuk melonjakkan institusi pendidikan negara.

Di sebalik inisiatif kasut hitam yang dijadikan ejekan mereka yang cetek minda, Malaysia harus berterima kasih terhadap kerja keras Maszlee memacu transformasi sistem pendidikan dengan memberikan tumpuan terhadap akses pendidikan untuk segenap lapisan masyarakat.

Belliau memberikan fokus kepada pendidikan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), meringankan bebanan guru dan mengutamakan pembaikian sekolah daif di seluruh Malaysia.

Politik buas dan ganas

Dalam tempoh 20 bulan pimpinannya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya menyiapkan 90 peratus sekolah daif diseluruh negara, memperkenalkan program sarapan percuma kepada lebih 37,000 pelajar dan 1,600 guru-guru di sekolah pilihan, memansuhkan peperiksaan untuk pelajar tahun 1 hingga 3, memperkenalkan pembelajaran satu aliran, meningkatkan ranking universiti awam, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan aliran teknikal dan vokasional (TVET) kepada 96 peratus.

Melihatkan KPM sebagai kementerian terawal mengemukakan kad laporan pencapaian mereka, saya tertanya-tanya, apakah pencapaian kementerian lain? Adakah kementerian lain yang lebih aktif berbanding KPM?

Namun sayang, sepak terajang dalam kandang politik bukan dimenangi oleh mereka yang paling keras usaha kerjanya, atau paling hebat inisiatifnya.

Ianya dimenangi dengan sikap membeli dan membelai hati sang raja, serta kehebatan memposisikan diri dalam fabrik bercorak Machiavelli. Ianya persaingan real-politik yang buas, ganas dan - pada sesetengah masa - meloyakan.

Bagi ramai aktivis muda, peletakan jawatan Maszlee adalah hari gelap buat Malaysia. Namun keadaa itu mungkin tidak dirasai bagi para kapitalis dan oportunis, juga cauvinis dan politikus yang mengintai-intai kekosongan tersebut.

Mesej terselindung yang disampaikan Maszlee semasa mengadakan sidang media terakhirnya seolah-olah memberikan hint bahawa pengunduran beliau dipengaruhgi tiga isu kontroversi - isu tulisan Jawi, kontrak sambungan internet di sekolah dan sarapan percuma.

"Sometimes there is just no way to hold back the river." (Paolo Coelho, The Alchemist)

Di sebalik pelbagai teori mengenai punca peletakan jawatan beliau, kelompok kapitalis-oprotunis - atau disebut cukong (meminjam terma Hishamuddin Rais) mungkin gembira dengan terbukanya kontrak-kontrak lumayan di bawah KPM yang merupakan penerima belanjawan terbesar. 

Dong Zong mungkin tersenyum dengan berakhirnya karier pendukung utama pembelajaran tiga muka surat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Kumpulan antiislamis mungkin gembira dengan gugurnya seorang ‘islamist in the closet’ yang mengikut mereka menjalankan “creeping islamization” di kementeriannya.

Para politikus mungkin gembira dengan kosongnya jawatan yang pada tradisinya menjadi jalan ke arah posisi perdana menteri, dan pengamal media mungkin menghela nafas lega bahawa spekulasi tidak putus-putus mengenai masa depan Maszlee akhirnya terjawab.

Ianya membingungkan dan mengecewakan, namun bak moto pasukan bola sepak Kedah, "Biar Jasa Jadi Kenangan”. Tragedi di KPM itu adalah penerusan episod panjang kisah sebuah bangsa yang memfitnah dan membunuh Hang Nadim dan Bendahara Tun Mutahir atas asas perebutan kuasa, harta dan pengaruh.

Hari ini, kita mungkin tidak membunuh fizikalnya, namun cukuplah cercaan, ejekan dan olok-olokan kita menjadi salah satu penyumbang kepada kejatuhannya.

Yang terjadi sudah pun termaktub di Luh Mahfuz sejak azali, namun peristiwa ini cukup untuk mengingatkan saya akan sebuah bait dari buku kegemaran Maszlee, The Alchemist, karya agung Paolo Coelho: “People are afraid to pursue their most important dreams, because they feel that they don't deserve them, or that they'll be unable to achieve them.”

Cukuplah keberadaan 20 bulan Maszlee di KPM untuk menyedarkan kita bahawa mimpi transformasi sistem pendidikan negara hanya boleh dicapai dengan jiwa yang prihatin, keberanian untuk berubah dan usaha keras.

Kesabaran adalah bumi

keberanian menjadi cakrawala

dan perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. (Rendra)


MOHD SHAZWAN ABD HALIM ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen