malaysiakini logo
story-image
ADS

Tahun 2020: Mampukah Malaysia berjaya?

Ini soalan yang bermain-main dalam fikiran sebahagian besar kita di ambang tahun 2020.

Setiap daripada kita mempunyai impian untuk melihat Malaysia berjaya.

Wawasan 2020 digarap oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990.

Wawasan kita pada masa itu jelas: kita mahu menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, sebuah negara yang progresif dan sederhana, sebuah bangsa Malaysia yang bersatu dan bersama membina negara ini berlandaskan teknologi maju.

Pada ketika itu, rakyat Malaysia dan kerajaan mempunyai tujuan yang jelas dan ia memandu kita untuk bersama menggembleng tenaga ke arah negara maju.

Apa beza dahulu dan sekarang?

Pada hemah saya, Malaysia selepas itu kehilangan hala tuju yang jelas.

Akibatnya, Malaysia seolah-olah berada dalam keadaan yang lembap. Kita tidaklah ketinggalan, tetapi kita juga tidak maju ke depan.

Dalam sektor pembuatan, syarikat Malaysia tidak mencipta atau menggunakan teknologi yang boleh dibanggakan. Sektor pembinaan masih lagi berasaskan buruh dengan teknologi lama.

Sektor pertanian juga masih di takuk lama. Pendidikan kita masih berada pada tahap negara membangun berdasarkan kajian Programme for International Student Assessment (Pisa) baru-baru ini.

Pada masa yang sama, negara kita dihambat oleh isu kaum dan agama. Negara kita seolah-olah dibajak oleh golongan ekstremis. Semua ini bukanlah negara kita yang digambarkan dalam Wawasan 2020.

Kita tidak boleh membiarkan negara ini terus hanyut tanpa tujuan yang jelas.

Tahun 2020 adalah peluang terbaik untuk kita kembali ke landasan tujuan yang jelas ini.

Kerajaan Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia perlu fokus.

Malaysia perlu fokus kepada apa yang penting kepada negara dan bukannya mendahulukan kepentingan sendiri atau kaum dan agama sendiri. Kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara adalah lebih penting.

Saya yakin projek Malaysia boleh berjaya. Dekad baru ini adalah peluang kita untuk mencapai kejayaan tersebut.

Kunci kejayaan Malaysia adalah: Kembali kepada tujuan yang jelas sebagai sebuah negara.

Selamat tahun baru 2020.


SIM TZE TZIN ialah timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen