malaysiakini logo
story-image
ADS

Umum mengetahui mengenai pelaksanaan syarikat gergasi media, Media Prima Berhad (MPB) dalam memberhentikan pekerja termasuk kakitangan di kumpulan The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) membabitkan NST, Berita Harian dan Harian Metro pada 1 November lalu.

Seramai 543 pekerja dari kumpulan NSTP terbabit dalam pemberhentian ini yang mana tempoh perkhidmatan mereka bakal berakhir pada 12 Mac 2020.

Surat pemberhentian kepada kakitangan Media Prima dan NSTP yang terbabit akan diserahkan oleh pihak pengurusan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, turut terbabit dalam pemberhentian berkenaan adalah ahli kesatuan pekerja NUJ iaitu seramai 193 ahli. Ini menjadikan jumlah ahli NUJ NSTP yang kekal hanyalah 143 ahli.

Sejujurnya, angka itu bukanlah satu jumlah yang kecil. Ramai antara kami yang terkorban dan terpaksa berkorban dalam memastikan kelangsungan syarikat.

NUJ NSTP sangat bersimpati dengan apa yang berlaku dan kami sudah sedaya upaya memperjuangkan semua nasib ahli yang terjejas namun, kami akhirnya perlu akur dan menerima keputusan syarikat, meski ia pahit untuk ditelan.

Sehubungan itu, NUJ NSTP berharap keadaan syarikat akan kembali pulih selepas pemberhentian ini dijalankan, sekali gus bangkit semula daripada kejatuhan yang berlaku.

Buat ahli yang akan pergi, NUJ NSTP mendoakan semoga mereka dilimpahkan rezeki dan diberikan kehidupan yang lebih baik di luar sana.

Bagi kakitangan yang akan kekal, teruskan berkhidmat bersama syarikat, pesan NUJ NSTP, tingkatkan semangat untuk terus maju ke hadapan.

Paling penting, NUJ NSTP berharap proses pemberhentian ini akan berjalan lancar dan pampasan yang dijanjikan akan dibayar mengikut lunas undang-undang dan nasib ahli-ahli kami terus terbela.

NUJ NSTP juga berharap ini adalah pemberhentian terakhir yang akan dilakukan oleh syarikat dan tiada lagi ahli NUJ NSTP yang terpaksa berkorban dan perlu melalui detik perit yang sama.

Mungkin ini adalah sesuatu yang berat untuk ditanggung buat semua yang terbabit dan juga mereka yang masih kekal, tapi mungkin ini jugalah yang terbaik buat semua.

NUJ NSTP percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Malah, NUJ NSTP juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepada syarikat dan pihak pengurusan untuk mengembalikan NSTP ke zaman kegemilangannya.

Sekali lagi, NUJ NSTP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli yang terbabit dalam pemberhentian ini atas kerjasama diberikan selama ini. Walaupun apa yang berlaku, ingatlah, anda selamanya akan menjadi sebahagian daripada keluarga NUJ NSTP.


FARAH MARSHITA ABDUL PATAH ialah pengerusi NUJ-NSTP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen