malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
‘Penangguhan pengecilan operasi bukti keprihatinan kerajaan terhadap ITBM’
ADS

Merujuk laporan berita bertajuk “Agensi martabatkan bahasa Melayu jadi mangsa kerajaan PH” yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini semalam, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menegaskan sekali lagi bahawa tindakan pengecilan operasi melalui penamatan khidmat staf ITBM telah ditangguhkan atas arahan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik.

Arahan penangguhan ini jelas menunjukkan keprihatinan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya menteri pendidikan terhadap isu dan keadaan semasa ITBM serta turut berusaha membantu memulihkan organisasi ini.

Penangguhan tindakan penamatan khidmat staf ITBM ini telah diumumkan melalui edaran media yang dikeluarkan pada 9 Disember 2019 yang lalu.

Dalam edaran berkenaan, turut dinyatakan bahawa arahan penangguhan yang dikeluarkan oleh menteri pendidikan itu bertujuan untuk memberikan laluan kepada pihak KPM melaksanakan perancangan pemulihan ITBM bagi mengekalkan kelangsungan dan keberadaan organisasi ini.

Selain itu, ITBM turut menyangkal dakwaan tindakan penamatan staf ini melibatkan beratus-ratus staf ITBM seperti yang disebutkan dalam laporan berkenaan.

Ini kerana, tindakan pengecilan operasi yang ditangguhkan ini dilaksanakan mengikut fasa, dan untuk fasa berkenaan hanya 20 peratus atau sejumlah 24 orang staf sahaja yang terlibat dalam tindakan penamatan khidmat ini daripada jumlah keseluruhan staf ITBM seramai 115 orang.

Sehubungan itu, ITBM sekali lagi ingin menegaskan bahawa pengecilan operasi ITBM yang berlaku ini tiada kaitan dengan pengurusan kepimpinan kerajaan sekarang, tetapi ia adalah satu keadaan untuk mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan ITBM dalam bidang keilmuan melibatkan penerbitan dan penterjemahan ilmu.

ITBM juga menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya menteri pendidikan dan KPM atas keprihatinan dan bantuan yang dihulurkan bagi memulihkan keadaan organisasi ini, sekali gus mengekalkan keberadaan dan kelangsungan operasi ITBM dalam industri ini.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen