malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya merujuk kepada berita Malaysiakini mengenai dakwaan salah laku melibatkan sistem pengurusan manusia pekerja asing berpusat.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengumumkan kerajaan memutuskan menggantung operasi Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) selepas syarikat yang membangunkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat (FWCMS) itu didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dan eksploitasi pekerja asing.

Keputusan berkenaan diambil susulan tindakan Kerajaan Nepal yang melarang rakyatnya daripada dihantar bekerja di Malaysia.

Susulan itu, tercetuslah perang mulut secara terbuka di antara Kulasegaran dan pengurusan Bestinet di mana menteri berkenaan menegaskan, keputusan kerajaan menggantung operasi syarikat terbabit disokong asas yang kukuh walaupun Bestinet mengemukakan rayuan.

Bagaimanapun pada 9 Disember lalu, Kulasegaran mengumumkan semua tuduhan terhadap Bestinet yang sebelum ini dikaitkan dengan Datuk Abdul Hakim Hamidi, adik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri serta bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah tidak berasas.

Biarpun Kementerian Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan, menteri berkenaan membuat pengumuman di Dewan Rakyat bahawa tiada sebarang asas untuk mengaitkan Bestinet mengeksploitasi pekerja asing dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram seperti didakwa.

Beliau memaklumkan demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), iaitu agensi di bawah kementerian diterjaui Kulasegaran pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Persoalannya adalah apakah asas untuk Kulasegaran ‘membersihkan’ Bestinet daripada segala dakwaan yang dilemparkan? Bukankah perkara seperti itu sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Sepatutnya juga, selepas Kementerian Sumber Manusia menggantung operasi Bestinet pada 2018 kerana dakwaan mengeksploitasi pekerja asing dan pengubahan wang haram, ia membuat laporan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Parti Patriotik Nasional (PPN), Mohd Zulkifli Abdul Fatah mendakwa tiada sebarang laporan dibuat oleh Kementerian Sumber Manusia kepada SPRM berkaitan isu terbabit.

Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pegawai suruhanjaya itu kepadanya ketika beliau mewakili PPN membuat laporan SPRM terhadap Kulasegaran pada 13 Disember 2019.

Bestinet diberikan kontrak mengendalikan sistem pengurusan pekerja asing pada 2015 ketika pentadbiran kerajaan BN.

Kulasegaran perlu berterus-terang mengenai isu ini, mengapa kenyataannya bertentangan?

Keputusannya membuat ‘pusingan U’ adalah sesuatu yang mengejutkan kerana isu ini bukan setakat membabitkan kontrak berbilion ringgit yang menjadi taruhan, tetapi juga isu kebajikan pekerja asing serta reputasi Malaysia di mata negara pembekal tenaga kerja.

Beliau tidak boleh berlindung di sebalik alasan remeh seperti ‘tiada asas’ atau ‘tidak tepat’ tanpa memberi penjelasan secara terperinci.


MOHD FAKHRUL SUHAIMI
Bandar Baharu Klang

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen