malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Ucapan jadi rencana, Sivarasa akan hantar notis tuntutan pada BH
ADS

Saya merujuk penerbitan-penerbitan berikut:-

A) Rencana bertajuk “Mengapa Berlaku Perpecahan dalam PKR?” yang disiarkan oleh Berita Harian versi cetak pada 12 Disember 2019 melalui ruangan “Dari Kaca Mata – R Sivarasa“ (“Penerbitan Pertama”); dan

B) Rencana bertajuk “Mengapa Berlaku Perpecahan dalam PKR?” yang disiarkan oleh Berita Harian versi atas talian pada 12 Disember 2019 melalui ruangan kolumnis yang menamakan saya sebagai penulis (“Penerbitan Kedua”).

Di bahagian akhir penerbitan pertama ada menyatakan bahawa tulisan tersebut merupakan sedutan ucapan saya ketika majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance pada 8 Disember 2019. 

Tulisan tersebut ditranskrip sendiri oleh Berita Harian dan diterbitkan dalam bentuk kolum tanpa mendapatkan kebenaran saya terlebih dahulu. Saya tidak pada bila-bila masa pun meminta Berita Harian menerbitkan ucapan tersebut.

Penerbitan kedua (atas talian) langsung tidak menyatakan bahawa rencana tersebut diperoleh daripada ucapan saya dan memberi gambaran seolah-olah saya telah menulis dan telah menyiarkan rencana itu sebagai kolumnis Berita Harian yang diupah.

Tambahan pula, kedua-dua penerbitan pertama dan kedua itu mengandungi kesilapan fakta. Sebagai contoh saya tidak pernah menyebut “saya tidak hadir Kongres pada Jumaat dan Sabtu”, kerana saya sememangnya berada di Kongres pada hari Sabtu iaitu hari pertama walaupun tidak hadir pada hari yang kedua. Ada juga ayat di transkripsi yang kurang tepat dan tidak diterbitkan secara kata demi kata.

Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah menjadi kolumnis Berita Harian dan tindakan pihak Berita Harian menerbitkan ucapan saya seolah-olah ia sebuah rencana yang saya tulis dan hantar untuk diterbitkan sebagai kolumnis Berita Harian amat dikesali. Penerbitan begini oleh Berita Harian adalah bertentangan dengan etika kewartawanan dan merupakan satu penipuan terhadap pembaca.

Saya juga ingin menyatakan bahawa ketika ucapan tersebut dibuat, ia ditujukan kepada beberapa ribu para hadirin di hadapan saya yang merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat dan bukan untuk disiarkan kepada orang awam khususnya pembaca Berita Harian di seluruh negara. 

Cara rencana itu diterbitkan oleh pihak Berita Harian itu memberikan konotasi negatif terhadap saya dan memberi gambaran saya telah secara sengaja ingin menyebarkan penerbitan bertulis yang dibuat oleh Berita Harian ke seluruh pelosok negara. Ini telah menimbulkan pelbagai prasangka yang tidak wajar terhadap saya. Saya sedang mendapatkan nasihat peguam dan akan menghantar notis tuntutan kepada Berita Harian untuk membetulkan perkara ini.


SIVARASA RASIAH ialah anggota pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat dan anggota Parlimen Sungai Buloh

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen