malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Surat
Pembalakan di Geopark Lembah Kinta, MB Perak patut isytihar hutan kekal
ADS

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kenyataan media daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan.

Menurut kenyataan tersebut, Laporan Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) projek pembangunan tanah dusun di kawasan Perak Hi-tech, Lot PT 253408 dan Lot PT 253409 telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 21 Jun 2009.

Berdasarkan ketetapan JAS, sesuatu kelulusan Laporan EIA hanya sah diterima pakai dalam tempoh dua (2) tahun dari surat kelulusan dikeluarkan.

Ketika ini, didapati kegiatan semasa di lapangan (kawasan projek) ialah kegiatan pembalakan untuk tujuan pengubahan hutan kepada kegunaan tanah lain seluas 151.49 hektar sedang dilakukan di Lot PT 253408 dan PT 253409 bermula dari 1 November 2019 hingga 30 Januari 2020.

Kegiatan tersebut adalah tertakluk kepada keperluan penyediaan Laporan EIA berdasarkan Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 dan Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Mengikut Rancangan Tempatan Daerah Ipoh 2020 (RTD 2020) pula, pengezonan kawasan projek ialah zon hutan.

Pemilik tanah tidak boleh mengeluarkan kawasan zon hutan kepada zon pertanian melainkan telah dilakukan dan diluluskan suatu pengubahan zon, pemansuhan atau penggantian dalam Rancangan Tempatan tersebut mengikut Subseksyen 16(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Sepatutnya Menteri Besar Faizal Azumu selaku exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio tanah dan hutan, pengerusi Jawatankuasa Kehutanan Negeri dan pengerusi PKNP perlu mewartakan semula kawasan tersebut sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) untuk menunjukkan komitmen kerajaan sekarang memelihara dan melindungi alam sekitar daripada kerajaan terdahulu kerana ia merupakan sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Kenyataan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen