malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Strategi pecahkan undi Melayu di Tanjung Piai
ADS

PRK TG PIAI | Dua calon Bebas yang bertanding pada PRK Tanjung Piai, kita ketepikan dahulu. Daripada baki empat calon kita tapis lagi, dan yang benar-benar memberi ancaman kepada kerajaan PH (Bersatu), hanya BN dan Berjasa.

Calon MCA yang juga mendapat sokongan PAS berusaha untuk mendapat undi Cina dan Melayu. Sementara Berjasa pula mahu meraih atau memecahkan undi Melayu/muslim, selepas kumpulan pendukung parti itu kecewa apabila Umno tidak bertanding.

Sebab itu, saya katakan calon kerajaan PH daripada Bersatu berdepan sedikit kesukaran untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu.

Diasak oleh BN (MCA) dan Gerakan di kiri untuk undi Cina/Melayu, Bersatu dihimpit pula Berjasa - yang saya sifatkan sebagai pemecah undi Muslim (sedangkan mereka inilah yang berjuang untuk perpaduan Melayu dan Islam) - di kanan.

Strategi memecahkan undi Melayu/Muslim memang mudah dijangka selepas BN membuat keputusan meletakkan calon MCA. Pergerakan yang mendukung Berjasa - yang sentiasa mahukan Melayu/Islam bersatu - memutuskan untuk turut bertanding, sedangkan mereka tahu bahawa PH (Bersatu) terlebih dahulu meletakkan calon Melayu.

Hari ini kita akan melihat sejauh mana Vote Muslim First (VMF) beraksi, tetapi bagi saya ia sudah berakhir. Yang menjadi tunjang Berjasa dan pendukung-pendukung parti itu ialah SMV - Split Muslim Vote.

Perbuatan yang amat bercanggah dengan perjuangan mereka yang kononnya untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam. Tetapi, terjelma sangkaan saya selama ini bahawa mereka hanya pandai berlakon dan berkata-kata.

Matlamat halalkan cara

Mereka kembali menerima ideologi Niccolò Machiavelli, seorang ahli falsafah politik berbangsa Itali. 

Berjasa sudah tahu bahawa Bersatu meletakkan calon Muslim iaitu Haji
Karmaine Sardini, 66.

Tetapi kerana tidak suka kepada kerajaan PH, Berjasa mengambil pendekatan Machiavelli - matlamat menghalalkan cara - dengan menggunakan tangan mereka untuk memusnahkan undi Melayu/Muslim, sekali gus bagi menjayakan SMV.

Perlu diingat bahawa Berjasa juga duduk di bawah payung Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS. Mereka juga merestui Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno, kononnya demi mengukuhkan kesepakatan sesama parti politik Melayu.

Tetapi, benarkah langkah Berjasa menyertai PRK Tanjung Piai kerana kecewa MN tidak meletakkan calon Muslim? Mungkin juga mereka kecewa dengan layanan Umno dan PAS yang membentuk MN dan tidak langsung menyebut "MN turut disertai Berjasa".

Atau, mereka hendak menunjukkan kekesalan kerana ketua Pemuda Umno tidak begitu menyukai mereka berada dalam MN? Atau mereka sebenarnya proksi kepada PAS?

Apapun, Berjasa bukanlah parti yang pengundi Tanjung Piai boleh harapkan.

Pengundi Islam PRK Tanjung Piai, jika pun masih ada yang kecewa dengan PH yang belum sampai sepenggal memerintah negara, perlu ingat Haji Karmaine 'boleh memberi walaupun seringgit' jika beliau menang, berbanding anda tidak mendapat apa-apa jika salah seorang daripada lima calon lain menang.


RAZALI ZAKARIA ialah pemerhati politik dan pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen