Pengiklanan

    Berjasa letak calon untuk menangkan siapa?

    (Dikemaskini )

    Akhirnya atas kefahaman yang silap tentang semangat hendakkan calon Muslim, Berjasa pun meletakkan calon mereka. Berjasa tak mahu pengundi Tanjung Piai mengundi Melayu Pakatan Harapan mungkin kerana mereka menolak kerajaan PH. Jadi mereka tawarkan calon Melayu Muslim mereka sendiri dan menyalah gunakan konteks Buy Muslim First menjadi Vote Muslim First.

    Tujuan Buy Muslim First adalah untuk memastikan kekuatan ekonomi ummah. Itu kita bersetuju. Tetapi apakah matlamat Vote Muslim First Berjasa dan penyokong mereka dalam konteks PRK Tg Piai? Adakah ia dapat menambah kekuatan ummah atau melemahkannya?

    Saya bertanya kepada pihak Berjasa, Gerakan Pengundi Sedar dan individu-individu yang membuta tuli melaungkan VMF soalan-soalan ini, dan sehingga sekarang mereka sama ada gagal menjawab atau mengelak dari menjawabnya.

    a. Apakah kebarangkalian calon Berjasa menang dalam PRK Tg Piai?

    b. Berapa % undi Melayu yang boleh Berjasa peroleh?

    c. Berapa % undi bukan Muslim boleh mereka peroleh?

    4. Soalan ini penting supaya mereka boleh bermuhasabah dan menilai niat sebenar mereka meletakkan calon dan kesan tindakan mereka menyalah gunakan konteks BMF di Tg Piai. Apakah yang mereka mahu sebenarnya di Tg Piai?

    a. Kemenangan calon Melayu dari Berjasa?

    b. Kemenangan mereka sendiri kerana dapat meletakkan seorang calon Melayu lain?

    c. Kemenangan dan kekuatan Muafakat Nasional?

    Saya yakin Berjasa, GPS dan individu-individu yang melaungkan VMF secara membabi buta ini tidak mahu menjawab soalan-soalan saya kerana ia membongkar kelemahan daya fikir mereka dan niat sebenar mereka bila melaungkan VMF. Kenapa?

    Pertama, mereka tahu kebarangkalian calon Berjasa menang adalah amat tipis. Kedua, mereka sedar Berjasa hanya mampu menarik sejumlah undi Melayu dan ketiga, hampir mustahil untuk menarik undi bukan Islam. Jadi atas semangat VMF yang salah mereka meletakkan calon Melayu untuk kalah. Tidakkah ini perbuatan lagho, sia-sia dan silap-silap mengundang dosa?

    Jika Berjasa dan GPS sedar calon Melayu yang mereka letakkan ini akan kalah, jadi kenapa mereka letakkan juga? Apa kesannya kepada undi Melayu dan Islam? Tindakan meletakkan calon Berjasa ini sudah tentu bertujuan untuk memecah belahkan undi Melayu dan umat Islam. Tindakan ini pastinya tidak menguntungkan Muafakat Nasional sebaliknya akan menguntungkan calon PH.

    Tindakan Berjasa meletakkan calon dan tindakan GPS menyalah gunakan konteks BMF dalam VMF sebenarnya bukan untuk menambah kekuatan ummah sebaliknya untuk memecah belahkan dan melemahkan ummah, bertentangan dengan konteks BMF.

    Tindakan Berjasa dan GPS ini tidak ada bezanya dengan tindakan dan kemahuan Lim Kit Siang apabila mencadangkan penubuhan Bersatu, iaitu untuk memecah belahkan undi Melayu dan umat Islam bagi memenangkan golongan munafik Melayu hanya dengan 13 kerusi, menjadikan mereka lemah dan akhirnya terpaksa mengikut sahaja kehendak golongan itu ibarat lembu dicucuk hidung.

    10. Apa hasrat Berjasa dan GPS sebenarnya?

    a. Menguatkan ummah?

    b. Memenangkan PH?

    c. memenangkan ego sendiri kerana berjaya meletakkan calon Melayu bertanding, tak kisahlah apa kesannya kepada ummah?

    Saya menyokong penuh BMF dan VMF dalam konteks yang betul, iaitu menguatkan Islam dan ummah. Jelas Berjasa dan GPS menyimpang dari matlamat sebenar VMF, dan tersesat jalan hanya kerana mahu memuaskan ego masing-masing.


    TUN FAISAL ISMAIL AZIZ ialah timbalan ketua Umno bahagian Putrajaya.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih