malaysiakini logo
story-image
ADS

Baru-baru ini saya ada terbaca kenyataan yang dikeluarkan oleh exco kerajaan negeri, Dr Afif Bahardin mengenai langkah-langkah kerajaan negeri bagi memastikan projek pembinaan pulau-pulau di selatan Pulau Pinang tidak menjejaskan periuk nasi para nelayan.

Saya menyokong tindakan ini dan memohon agar disegerakan projek-projek penanaman tukun di Pulau Kendi dan Pulau Rimau termasuk projek penanaman semula hutan bakau di Tanjung Tempoyak dan Pulau Betong.

Penanaman bakau ini penting bukan sahaja sebagai agen untuk melindungi kukup yang menjadi habitat kepada hidupan laut tetapi juga sebagai sistem tambatan banjir yang berkesan buat Pulau Pinang.

Saya juga ingin menegaskan untuk kerajaan negeri memantau dengan rapi akan kerja-kerja tambakan di mana pembinaan tembok pengasingan dan pagar kelodak yang mengelilingi kawasan tapak projek mesti berjaya mengawal penyebaran kelodak dan bahan-bahan asing keluar dari kawasan kerja supaya tidak menganggu ekosistem perikanan.

Kita semua harus diingatkan, bahawa golongan nelayan adalah mereka yang membayar harga bagi pembangunan di Pulau Pinang. Untuk membiayai infrastruktur pengangkutan yang maju, efisien serta menjadi pemangkin kepada ekonomi, setara dengan bandar-bandar lain seperti di Kuala Lumpur dan Singapura, kita mesti memastikan golongan ini turut mendapat manfaat dari kemajuan ini.

Saya terbaca dari kenyataan Dr Afif bahawa berdasarkan kajian SIA yang telah dilakukan pada tahun 2016, hanya satu dalam lima ahli keluarga nelayan yang dibanci mewariskan aktiviti mereka kepada anak-anak atau ahli keluarga. Ini menunjukkan perlunya ada satu insiatif nilai tambah kepada pekerjaan ini supaya ia dilihat relevan dengan anak-anak muda.

Kesinambungan golongan nelayan ini penting bukan sahaja dalam memastikan negeri Pulau Pinang ini tidak terputus bekalan makanan laut dan seterusnya terpaksa bergantung kepada import dari negara jiran, tetapi saya percaya terdapat banyak peluang penjanaan ekonomi yang terlepas pandang dalam aktiviti penangkapan ikan.

Saya berharap dan ingin menekankan supaya kerajaan negeri tidak sekadar memberi pampasan berbentuk one off tetapi untuk melibatkan golongan ini untuk menjadi sebahagian dari projek pembangunan di Pulau Pinang.

Dengan pembinaan pulau-pulau di selatan Pulau Pinang, yang dihubungkan dengan infrastruktur pengangkutan yang baik, kita golongan nelayan boleh diperkasakan dengan pelbagai inisiatif nilai tambah yang berkaitan dengan aktiviti perikanan.

Dari pembinaan pasar basah yang baru untuk menarik pembeli secara terus tanpa melalui orang tengah, inisiatif nilai tambah seperti restoran makanan laut, pemprosesan produk hasil laut yang dapat dijual ke pasaran hinggalah ke produk-produk pelancongan yang berkaitan hasil laut.

Saya dimaklumkan oleh exco berkaitan bahawa insentif-insentif seperti ini kini berada dalam proses perbincangan peringkat akhir, dan saya akan nantikan pengumuman berkaitan hal ini.

Cuma ingin saya mengingatkan kepada pihak kerajaan negeri dan kita semua, dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan janganlah kita lupa kepada golongan yang telah membayar harga mahal dalam memakmurkan negeri kita yang dicintai ini.

Saya akan terus memantau, menyuarakan dan memperjuangkan nasib golongan ini untuk memastikan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus kekal menjadi kerajaan negeri yang mesra dan prihatin kepada golongan nelayan tanpa mengira bangsa.


ZOLKIFLY MD LAZIM ialah ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Bahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen