malaysiakini logo
story-image
ADS

Berdasarkan satu artikel yang diterbitkan oleh akhbar The Edge bertarikh 30 September 2019, terdapat usaha untuk mengambil alih pegangan FGV daripada Felda oleh pihak ketiga.

Kami sebagai generasi baharu Felda menolak apa-apa cadangan atau usaha mana-mana pihak ketiga untuk mengambil alih FGV.

Kami berpendirian FGV hanya perlu dikembalikan kepada Felda sama ada melalui kerajaan atau melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dimiliki sepenuhnya oleh warga Felda bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan warga peneroka.

Felda dan FGV boleh diibaratkan seperti ayah dan anak. Sudah menjadi tanggungjawab ayah untuk memberikan yang terbaik kepada anak.

FGV pula sebagai anak yang bertanggungjawab haruslah menjaga dan mentadbir aset-aset yang ‘diwariskan’ kepadanya dengan sebaik mungkin seterusnya membalas dengan bayaran dividen yang tinggi serta peratusan keuntungan hasil ladang yang dipajakkan oleh Felda kepada FGV.

FGV dibina melalui keringat peneroka dan dedikasi kakitangan Felda serta pekerja anak-anak syarikat.

Sebelum FGV disenaraikan, hasil dari tanah ladang seluas 350 ribu hektar dan perniagaan hilirannya menyumbang pendapatan kepada Felda sekurang-kurangnya satu bilion setahun.

Daripada hasil inilah kebajikan dan kesejahteraan warga peneroka dan kakitangan Felda terbela ketika bawah Felda Holdings Berhad dan sebelum FGV disenaraikan.

Sebagai generasi baharu Felda dan juga pemegang taruh, kami meletakkan ketegasan agar usaha ini perlu dihentikan dan memohon campur tangan daripada kerajaan.

Kami yakin melalui pelan pemulihan yang telah dan sedang diusahakan serta mengembalikan FGV kepada Felda, kegemilangan Felda dan warganya dapat dikembalikan serta objektif ‘kertas putih’ kelestarian Felda dapat dicapai.

Keutamaannya adalah warga peneroka yang merupakan pendiri Felda.


MUHAMMAD FADZLI HASAN ialah presiden Majlis Belia Felda.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen