malaysiakini logo
story-image
ADS

Kepada Datuk Seri Khaled Nordin yang dihormati.

Warkah Datuk Seri kepada Tun Mahathir saya rujuki.

Tanpa bertanyakan kepada Tun, saya percaya sesungguhnya maksud Tun merujuk kepada roh semangat dan juang asal Melayu yang dilahirkan oleh Umno suatu masa dahulu telah hampir hilang dalam jiwa kepimpinan tertinggi Umno masa kini.

Masakan Datuk Seri yang miliki kematangan politik tidak menyedari bahawa kepimpinan tertinggi Umno sendiri yang memberi ruang sehingga hilangnya semangat dan roh tersebut, membuatkan rakyat menolak Umno pada PRU yang lepas.

Mudahnya Datuk Seri lupa, bahawa ketika pertemuan lima pemimpin tertinggi Umno dengan Tun tahun lepas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun mengatakan bahawa Umno  itu telah rosak kerana dirosakkan oleh kepimpinan Umno yang terdiri dari Datuk Seri sendiri.

Maka Tun telah menyeru supaya baliklah ke pangkal jalan dan tinggalkan Umno yang telah dirosakkan dan muhasabah diri. Mereka yang bersih, Insha-Allah diberi ruang dan peluang.

Mereka yang terkait dengan kes rasuah, biarlah undang-undang yang menentukan.

Salah siapa?

Jadi, bila mana Tun ingin meniup kembali roh dan memperkasakan semangat Melayu itu, kenapa perlu beliau dipersalahkan?

Jika Datuk Seri bertanyakan Tun “...wajarkah masa depan bangsa kita diperdagangkan sedemikian rupa?...”, jawapannya ada pada Datuk Seri dan rakan-rakan kepimpinan tinggi Umno jua.

Maka benarlah kata Datuk Seri bahawa “...Negara memerlukan pemimpin yang membawa rasa tenteram kepada rakyat...”. Tetapi, adakah pemimpin sedemikian ada di kalangan kepimpinan tertinggi Umno yang ada ini?

Wujudkah pemimpin-pemimpin tertinggi Umno kini yang mampu membawa rasa tenteram kepada rakyat sekaliannya? Adakah Datuk Seri Zahid Hamidi pemimpin tersebut? Adakah Tengku Adnan atau Annuar Musa?

Melihat pula kepada perubahan rasa di kalangan Ahli Parlimen Umno, ia sepatutnya ditangani oleh kepimpinan Umno dan bukan berterusan menyalahkan Tun. Jika keputusan mereka dibuat dengan rela hati tanpa ada paksaan, kenapa pula Tun dipersoalkan?

Norma manusia, kita percaya dan mengikut seorang pemimpin bukan hanya seorang Ketua. Jadi apabila Umno semakin busuk, perlukah pemimpin-pemimpin Umno setia berpaksikan kekotoran?

Jadinya, yang perlu ditanya, apa salah diri sehingga sahabat berubah rasa lari dan bukannya menuding jari menutup kekurangan sendiri.

Kerana pada saya, mereka, sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia, percaya bahawa Tun adalah penyelesaiannya.

Dan seperti kata Datuk Seri sendiri, Tun mempunyai keperibadian yang ikhlas, bersih dan sangat berwibawa.

Jadi, tak salah sekiranya pengharapan kita semua diberikan kepadanya.

Terakhir, nasihat saya, usahlah Datuk Seri termangu dan terhegeh-hegeh untuk menulis warkah memperli Tun kerana sememangnya ahli politik seperti Datuk Seri dan rakan-rakan sebantal Datuk Seri tidak lagi relevan sebagai pemimpin negara.

Bahkan, Datuk Seri kalah pilihan raya di tempat sendiri hingga hilang jawatan Menteri Besar. Berikanlah ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin muda di dalam Umno yang lebih bersih dan mempunyai idea-idea lebih bernas.

Atau adakah Datuk Seri berfikir bahawa Datuk Seri lebih hebat dari Tun? Ego sebesar bulan tak mungkin tertampung oleh Datuk Seri.

Mohon Datuk Seri jangan terlupa atau buat-buat lupa.


MOHD BADRUL EZAN ialah Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Seputeh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen