malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Mencatu mandi bukan jawapan melestarikan alam
ADS

Kebelakangan ini perasaan saya selalu senak lantaran diasak oleh hal-hal yang susah untuk dicerna.

Berita seperti pelajar sekolah berasrama penuh membuli teman sepengajian, gelincir jari pemimpin politik yang mendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu bukan milik Muslim, misalnya.

Juga kekeliruan yang menyesatkan mengenai maksud bibliophile yang dikaitkan dengan Bible.

Apakah masyarakat sedang semakin galak meraikan hal karut-marut dan pada masa sama berlumba-lumba hendak membudayakan kebodohan sebagai norma kita? Punah kalau begini.

Saya mula terdorong membuat catatan ini selepas terbaca saranan mengenai cara mandi yang didakwa boleh menjaga kelestarian alam sekitar, iaitu menghabiskan masa selama tiga minit saja.

Saya tak pasti sama ada berlaku kesilapan salah petik dalam laporan itu atau tidak. Jika memang kenyataannya begitu saya jadi tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.

Banyak lagi perkara besar dan wajar untuk kita usahakan demi kelestarian alam. Izinkan saya berkongsi serba sedikit pandangan mengenai apa yang lebih afdal untuk kita berusaha melestarikan alam sekitar.

Sayugia dimaklumkan saya bukanlah pemilik PhD, cuma seorang insan yang akrab dengan alam semasa menjalani kehidupan. Sudi-sudilah pertimbangkan perkongsian buah fikiran saya agar kita tidak terpaksa menahan berbau hapak dan masam akibat tidak cukup mandi.

Dalam kita mahu melestarikan alam dan menjimatkan air, perkara teratas yang perlu kita ambil cakna adalah sumber asasnya dahulu.

Secara geografinya negara kita ini diliputi hutan hujan tropika. Maka sudah pastilah bumi kita ini kaya dengan sumber air. Namun demi pembangunan secara sengaja atau tidak, kita banyak mengorbankan dan memusnahkan kawasan hijau.

Hutan dan paya yang menjadi kawasan tadahan air bagi negara ini sedikit demi sedikit menjadi rongak dan punah.

Akibat daripada itu kita terpaksa berhadapan catuan air bersih apabila datang musim kemarau, dan menghadapi bencana banjir yang teruk ketika musim tengkujuh.

Tidak kurang juga ramai yang terpaksa menanggung bencana kerosakan akibat angin ribut.

Kelestarian hutan-hutanlah yang perlu kita letakan pada tahap teratas untuk diusahakan. Antara langkah-langkah yang boleh kita fikirkan bersama: perbanyakan hutan-hutan komuniti.

Lebih bagus lagi, wujudkan sekurang-kurangnya satu hutan komuniti di setiap daerah. Lebih banyak, lagi bagus. Konsep hutan komuniti itu pula eloklah pihak cerdik pandai fikirkan dan usahakan.

Dalam membantu melestarikan kawasan hijau, kita juga mungkin boleh memperkenalkan konsep hutan angkat. Pihak korporat boleh berperanan menjayakannya.

Seperkara lagi, dan ini serba salah saya dibuatnya, kerana bimbang ramai akan tersinggung. Tapi biar saya sebutkan juga.

Suka atau tidak, pada hakikatnya, selain padang golf, ladang-ladang kelapa sawit juga banyak memberi kesan buruk kepada sumber air. Rasanya ada kajian menunjukkan kewujudan ladang kelapa sawit menjadikan kualiti air sungai merudum.

Suhu air menjadi lebih panas dan tercemar disamping tumbuhan itu sendiri menyedut banyak air.

Kalau rajin mengamati biasanya gua-gua batu kapur yang dikelilingi ladang kelapa sawit akan menjadi lebih kering, proses pembentukannya terganggu dan terencat.

Paling malang lagi, lama-kelamaan gua-gua batu kapur itu akan mati.

Kelapa sawit memang merupakan sumber ekonomi kita. Justeru saya sarankan agar Felda dan Felcra - atau sesiapa pun juga - sama-sama cuba mengusahakan konsep permaculture.

Mungkin boleh diusahakan dalam skala kecil-kecilan dulu. Para peneroka misalnya, boleh dilatih dan diperkenalkan konsep pertanian cara permaculture ini.

Saya amati banyak anak sungai yang cantik dalam ladang-ladang kelapa sawit. Anak-anak sungai itu boleh dibaik pulih dan sesuai untuk dibangunkan sebagai tapak permaculture.

Paling lekeh pun, untuk permulaan, peneroka mungkin boleh mengusahakan permaculture di persekitaran kediaman atau dusun-dusun mereka.

Alangkah bertuahnya kita jika suatu hari nanti wujud Felda Permaculture di Malaysia.

Amalan pertanian ini juga sangat sesuai diusahakan oleh mereka yang tinggal di kampung-kampung tradisional. Amalan pertanian secara ini boleh kita gubah menjadi sumber tarikan pelancong kerana sifatnya yang sangat mesra alam.

Secara global pula, semua orang kini memang mahukan kelestarian alam. Inilah ruang yang ada untuk Malaysia berperanan.

Daripada kita sempitkan makna melestarikan alam dengan mengehadkan masa mandi kepada cuma tiga minit, lebih baik kita berkempen mandi puas-puas tiga jam.

Bayangkan kita boleh mandi di sungai-sungai di tengah kota suatu hari nanti lantaran sungai kita sudah bebas cemar.

Diramalkan pada masa depan, mana-mana negara yang mempunyai sumber air bersih akan menjadi daulah yang kaya dan berkuasa.

Justeru kita kena berusaha ke arah itu. Jangan bersedih hati kerana terpaksa mencatu waktu untuk mandi setiap hari.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang berminat melukis sambil sesekali menulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen