Kini tiba masanya kita mengkaji hal yang dianggap remeh oleh kebanyakan orang ramai, iaitu memakai tali leher. Ketepikan dulu isu peraturan Parlimen, tindakan kabinet dan sebagainya yang meletakkan syarat pemakaian tali leher ke Dewan Rakyat itu.
Ini kerana segala perundangan, etika, akta dan syarat-syarat yang dikenakan oleh insan ke atas insan lain adalah hasil perkumuhan hujah minda dan canaian akal sejahtera. Apabila logik muncul di celah perbahasan itu, lalu terhasil apa yang dinamakan sebagai etika, undang-undang dan sebagainya.
Dalam lain perkataan, semua perundangan yang logik itu terhasil dalam akal. Jika perundangan itu tidak logik, maka ia terbatal dan tidak layak dinamakan undang-undang. Mari kita berbual hal tali leher. Adakah sekalian raja, bangsawan termasuk rakyat bawahan Melayu pernah memakai tali leher di zaman silam? Adakah tali leher tersenarai sebagai salah satu dagangan mustahak atau 'best selling' oleh saudagar Arab, Cina, India dan lain-lain bangsa pada zaman tersebut?
Rasanya, selain jubah, serban, kain pelikat serta lain-lain pakaian, tali leher bukan menjadi dagangan utama para saudagar. Maknanya, tali leher bukan pilihan utama orang Melayu ketika itu. Kalau pun ia wujud pada zaman itu, barangkali ia tidak laku. Ia bukan satu keperluan yang amat mendesak seperti pakaian tradisi Melayu ketika itu. Kita hanya kenal tali leher ketika British mula menjajah kita. Asal-usul tali leher menarik diceritakan.
Menurut catatan, pada zaman kuno Eropah, mulut disifatkan sebagai punca segala penyakit. Ini kerana, setiap pernafasan, kuman bakteria yang berselerakan di udara masuk melalui rongga mulut dan hidung. Di situ, idea pemakaian tali leher tercetus, guna menyekat penularan penyakit tadi dengan menjerut leher mereka. Pandangan singkat ini tersebar ke seluruh dunia Eropah walaupun mereka tahu bahawa tidak mungkin amalan menjerut leher boleh dilakukan. Ini kerana, mereka terpaksa menyekat saluran nafas yang dapat menyebabkan kematian.
Ada qaul lain yang lebih logik. Iaitu, berpakaian itu selain bertujuan fesyen, iklim memainkan peranan dalam berpakaian. Misalnya, adakah sesuai berbaju Melayu di Kutub Utaran Selatan? Sudah tentulah, tidak sesuai juga berpakaian ala Eskimo di wilayah kita; iklim khatulistiwa.
Jadi, pada qaul kedua, fesyen tali leher diperkenal di Eropah dengan alasan iklim. Apabila tiba musim sejuk, memang menjadi kebiasaan orang Eropah untuk mengikat kain tebal mengelilingi leher mereka. Ini dilakukan, guna menyekat kemasukan udara sejuk ke dalam pakaian mereka, sekali gus mengepung haba yang terjana di dalam pakaian mereka guna mengekalkan suhu tubuh badan.
Akhirnya, terciptalah tali leher sebagai pelengkap pakaian tradisi moden Eropah yang sesuai dengan iklim di sana. Mungkinkah kita dapat muhasabah secara munasabah? Misalnya, sesuaikah pemakaian tali leher jika dinisbahkan dengan iklim khatulistiwa? Apakah tali leher satu keperluan mendesak untuk mengepung haba tubuh badan di Malaysia yang tiada salji? Di Eropah, memang ada munasabah. Ini kerana, cuaca di sana berubah dengan pantas. Daripada panas, ia bertukar pantas kepada udara dingin.
Mungkin kita boleh menoleh ucapan Datuk Shahrir Samad di Parlimen baru-baru ini mengenai pakaian alternatif ketika Datuk Seri Rais Yatim membentang Rang Undang-undang Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan 2006. Menurut Shahrir, wakil rakyat pun tidak suka bertali leher kalau pakaian alternatif Rais itu diluluskan di Parlimen. Walaupun ia remeh kepada sesetengah orang, tapi harus diingat bahawa, selain bahasa menunjukkan bangsa, pakaian juga menunjukkan hal yang sama. Pakaian itu mewakili identiti sesuatu bangsa.
Justeru tali leher itu tidak mewakili pakaian Melayu Islam yang boleh ditakhtakan sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan.