malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Guna sistem had kifayah untuk kriteria permohonan BSH
ADS

Berdasarkan belanjawan 2020 yang telah dibentangkan baru-baru ini kerajaan akan memperuntukkan RM5 bilion bagi meneruskan Inisiatif Bantuan Sara Hidup (BSH) bertujuan untuk membantu ekonomi rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dalam meringankan kos kehidupan mereka.

Kriteria kelayakan permohonan BSH telah ditetapkan berdasarkan pendapatan kasar bulanan isi rumah yang tidak melebihi RM4,000. Kriteria yang telah ditetapkan ini hanya mengambil kira faktor pendapatan isi rumah dan tidak mengambil kira faktor keperluan isi rumah.

Impak kepada kriteria permohonan BSH berdasarkan pendapatan semata-mata ini dipercayai akan gagal untuk membantu jutaan rakyat Malaysia yang kini memperolehi pendapatan isi rumah melebihi RM4,000 tetapi mempunyai tanggungan dan keperluan isi rumah yang lebih tinggi daripada jumlah pendapatan tersebut.

Saya menggesa pihak kerajaan untuk mempertimbangkan sistem pengiraan had kifayah yang kini sedang digunakan oleh lembaga-lembaga zakat negeri. Had kifayah dari sudut bahasa ialah kadar keperluan. Dari sudut syarak ialah kadar minima bagi keperluan asas dalam kehidupan seseorang. Secara ringkasnya, had kifayah merujuk kepada suatu kadar keperluan asas minimum yang ditetapkan berdasarkan kos sara hidup semasa.

Sistem ini mengambil kira pendapatan isi rumah dan dibandingkan dengan enam keperluan asasi iaitu perlindungan, makanan, pakaian, perubatan, pendidikan dan pengangkutan. Jika sistem pengiraan had kifayah ini dilaksanakan untuk menggantikan syarat kelayakan pemohonan BSH sedia ada, kelompok isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 tidak akan layak untuk mendapat BSH jika isi rumah tersebut mempunyai keperluan dan tanggungan yang kurang daripada pendapatan diperoleh.

Namun begitu ia juga akan memungkinkan isi rumah yang berpendapatan melebihi RM4,000 tetapi mempunyai tanggungan yang jauh lebih tinggi untuk mendapatkan bantuan yang sepatutnya daripada kerajaan.

Sistem pengagihan bantuan mengikut acuan Islam ini diyakini jauh lebih adil dan akan membantu meringankan beban jutaan rakyat Malaysia di negara ini yang benar-benar memerlukan.


NA'IM BRUNDAGE ialah ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen