malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
LTTE tidak boleh dibenarkan berkembang di Malaysia
ADS

Kumpulan Barisan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) - yang disenaraikan sebagai kumpulan pemisah dan pengganas oleh banyak negara dunia - ditubuhkan untuk membina sokongan bagi mewujudkan wilayah bebas dari Sri Lanka.

Ia tidak boleh dibiarkan bersarang di Malaysia.

Kumpulan yang didapati terlibat menyokong gerakan LTTE tidak harus dibiarkan dihidupkan kembali dengan menjadikan Malaysia sebagai tapak dan pangkalan operasi.

Soal perjuangan LTTE menuntut kemerdekaan di tanah air mereka adalah hak mereka, tetapi untuk dikembangkan di Malaysia, ia adalah suatu yang tidak boleh dibenarkan.

Pendekatan militan yang berideologi asing akan mengancam keselamatan negara.

LTTE adalah kumpulan bersenjata yang telah terlibat dalam operasi serangan di Sri Lanka, termasuk ke atas masjid dan mengorbankan orang Islam.

LTTE menuduh orang Islam terlibat menyokong kerajaan Sri Lanka dan dengan sebab itu mereka menjadikan masyarakat Muslim sebagai sasaran.

Serangan ke atas empat masjid di Kattankudy pada 3 Ogos 1990 tidak boleh dilupakan. Kira-kira 30 militan LTTE menyerang masjid terbabit ketika orang Islam sedang solat Isyak berjamaah. Seramai 147 orang terkorban.

Ada potensi cetus keganasan

LTTE adalah kumpulan militan yang memperjuangkan hak etnik Tamil sejak 1975 dan bertapak di utara serta timur laut Sri Lanka. Ia membawa matlamat untuk menubuhkan negara sendiri.

Pendekatan yang diguna ialah senjata. Gerakan pemisah ini tidak mengambilkira soal keselamatan golongan minoriti yang lain.

Membenarkan ia bergerak bebas di Malaysia adalah berbahaya. Lebih 30 negara menganggap LTTE adalah pertubuhan pengganas.

Tidak mungkin ideologi Tamil - yang asing dari Malaysia dan banyak negara lain - boleh dibenarkan untuk berkembang di sini.

Kami menolak kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, yang menyatakan langkah menahan individu mereka yang disyaki terlibat dengan LTTE adalah bertentangan dengan hak manusia.

Kami juga mengecam sejumlah wakil rakyat yang nampaknya mencabar Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika pihak berkuasa itu menjalankan siasatan.

Penglibatan beberapa pimpinan parti politik di Malaysia sebagai ahli senat kepada LTTE adalah mengejutkan dan harus disiat sejauh mana mereka menyokong gerakan bersenjata itu di Malaysia.

PDRM menggunakan undang-undang yang diperuntukkan dalam negara.

LTTE ternyata beroperasi di Sri Lanka dan strategi untuk menggerakkan sokongan di Malaysia berpotensi mencetuskan keganasan.

Alasan sokongan masyarakat Malaysia kepada perjuangan Palestin dan isu Rohingya tidak boleh disamakan dengan perjuangan LTTE.

Palestin dan Arakan adalah negara dirampas. Rohingya pula membabitkan isu kerakyatan yang dinafikan ditanah air mereka sendiri. Palestin diserang oleh Zionis dan menguasai hampir semua tanah Palestin.

LTTE pula memberontak terhadap kerajaan Sri Lanka. Mereka mahu menubuhkan negara sendiri secara gerakan bersenjata dan dengan itu diisytihar pengganas oleh masyarakat antarabangsa.

Justeru tidak boleh LTTE - yang didukung oleh sebahagian masyarakat Tamil dan anggota LTTE yang berada di negara ini - dibenarkan beroperasi di Malaysia.

Implikasi keselamatan negara mesti diutamakan.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen