malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
LTTE: Guan Eng usah jadi tangan ghaib campur urusan polis
ADS

Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi menuntut DAP menyatakan pendirian mereka terhadap pergerakan LTTE di negara ini berikutan beberapa pemimpin parti itu menunjukkan kecondongan mereka terhadap kegiatan kumpulan militan itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, beberapa kali mengeluarkan kenyataan tidak wajar seperti cuba melindungi ahlinya yang disyaki terbabit menyokong LTTE dengan mempertikaikan tugas polis, malah berulang kali menyatakan ahlinya itu tidak bersalah dan beri jaminan tiada lagi ahlinya akan ditahan.

Bagaimana Guan Eng boleh begitu yakin ahlinya itu tidak bersalah dan bagaimana beliau begitu yakin tiada lagi yang akan ditahan atas kesalahan menyokong atau beri dana kepada LTTE?


Baca: Polis jamin tiada lagi pemimpin DAP akan ditahan


Sebagai pemimpin kerajaan yang berpaksikan Rules by The Law, Guan Eng sewajarnya menyerahkan tindakan kepada pihak yang lebih arif iaitu Polis Diraja Malaysia, bukan dilihat rakyat sebagai pemimpin politik yang mahu menjadi tangan ghaib mencampuri urusan pihak berkuasa.

Dan sewajarnya beliau tegas bersama PDRM membanteras segala anasir yang boleh mengganggu gugat keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Malah sewajarnya Guan Eng menyelar tindakan pemimpin pilihan rakyat itu sebagai tindakan yang tidak setia kepada raja, perlembagaan dan undang-undang negara ini apabila memilih lebih setia kepada negara lain. Ia satu pengkhianatan kepada kedaulatan undang-undang negara ini.

Tindakan PDRM wajar dipuji

Tindakan membanteras anasir militan bukan mudah kerana ia membabitkan ideologi, pemikiran yang sudah didoktrin membenci satu-satu pihak sehingga lahirnya tindakan agresif, ekstrem yang boleh menjejaskan keselamatan.

Sehubungan itu, penahanan pemimpin DAP itu adalah mengikut proses undang-undang dan prosedur yang sudah ditetapkan.

Sewajarnya, tindakan PDRM itu dipuji kerana berjaya mengekang perancangan untuk melakukan pemberontakan dan serangan di kedutaan Sri Lanka di negara ini. Adakah kita perlu tunggu kejadian tidak diingini berlaku baru hendak bertindak.

PDRM beberapa tahun lalu berjaya melumpuhkan kumpulan militan Jemaah Islamiah di negara ini yang melakukan pengeboman di Indonesia.

Untuk makluman umum, sejarah membuktikan kumpulan militan bukan mengenai perjuangan agama atau bangsa tetapi berlaku akibat pendoktrinan maklumat salah kepada benar, tetapi kenapa ada pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan tindakan PDRM itu berat sebelah?

Sehubungan itu, Srikandi mahu DAP menyatakan pendirian mereka terhadap kumpulan militan di negara ini.


NORASHIKIN ABDUL GHANI ialah Presiden Srikandi Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen