Pengiklanan

    Di mana khilafnya Rahmatan lil Alamin?

    (Dikemaskini )

    Saya membaca berita bertajuk "Jakim perlu betulkan konsep Rahmatan lil Alamin" yang dipetik daripada salah satu resolusi Kluster Agama Persidangan Meja Bulat pada 23 dan 24 September 2019 di Hotel Tenera Bangi.

    Ia dibacakan oleh Ahmad Fadhli Shaari dalam Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati pada 6 Okt lalu.

    Merujuk kepada teks asal ucapan Ahmad Fadhli, desakan dan tuntutan pada poin kesembilan menyatakan: “Jakim hendaklah memperbetulkan konsep Rahmatan lil Alamin dan hifz ad-din dengan mengambil kira pandangan ulama yang muktabar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah”.

    Untuk pengetahuan beliau, inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan gagasan Rahmatan lil Alamin (RLA), maqasid syariah dan model Malaysia itu kepada kementerian dan jabatan kerajaan bukanlah tindakan berdasarkan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof.

    Sebaliknya perkara berkaitan telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-254 yang berlangsung pada 4 Julai lalu.

    Sebelum itu ia telah dibentangkan di peringkat mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-65 pada 14 Mac.

    Mesyuarat itu bersetuju agar penjelasan mengenai nilai RLA dan maqasid syariah - yang menjadi tunggak Gagasan Negara Rahmah - dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

    Dibahas ramai cendekiawan

    Ia rentetan daripada titah perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam Dewan Rakyat pada 11 Mac 2019 yang “amat menyokong usaha kerajaan mempromosi nilai dan budaya kerja Islam melalui pendekatan RLA dan maqasid syariah”.

    Wajar juga diingatkan kembali bahawa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, juga menyatakan ikrar dalam pertemuan sulung bersama para ulama dan cendekiawan Islam pada 31 Julai 2018 bahawa pentadbiran kerajaan baru adalah berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis sahih.

    Maka RLA, maqasid syariah dan model Malaysia adalah gagasan untuk menterjemahkan ajaran al-Quran dan hadis sahih ke alam realiti di negara ini.

    Oleh yang demikian, rujukan Jakim dalam mempromosi gagasan RLA, maqasid syariah dan acuan Model Malaysia adalah berlandaskan ajaran al-Quran, hadis sahih serta kupasan para ulama muktabar pada zaman klasik dan kontemporari.

    Tiada satu pun rujukan dibuat kepada ideologi sekularisme atau pluralisme barat.

    Untuk memantapkan lagi kupasan berkenaan RLA, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa menganjurkan Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin pada 19 Sept lalu.

    Tokoh-tokoh ulama dan sarjana pengajian dan pemikiran Islam tempatan dan nusantara hadir membentangkan kertas kerja serta. Antara pembahas mendalam gagasan itu ialah Prof Dr Muhammad Kamal Hassan (Malaysia), Prof Dr Muchlis M Hanafi (Indonesia), Prof Dr Afifi al-Akiti (Malaysia/Oxford), Prof Dr Noor Inayah Ya’akub (Malaysia), Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya (Thailand), Dr Zulkifli Mohamad (Malaysia), Prof Dr H Warul Walidin (Acheh, Indonesia), Dr Lily Suzana Samsu (Brunei) dan Mohamad Helmy Mohd Isa (Singapura).

    Mereka bersepakat dan bersetuju menjadikan dasar RLA sebagai agenda asas negara untuk membina dan melahirkan generasi rahmah melalui pemahaman, pemupukan dan semangat toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

    Pendefinisian toleransi dan konsep-konsep yang tersebut perlu dibina berdasarkan nilai-nilai murni dan kearifan tempatan, bukan pinjaman dan rujukan dari aliran sekularisme, pluralisme dan perennilisme.

    Di sini sukalah saya menyambut saranan Ahmad Fadhli agar Jakim memperbetulkan konsep RLA itu.

    Terbuka kepada kritikan

    Sebagai pegawai yang turut bertanggungjawab membuat pembentangan kertas konsep, diskusi meja bulat dan penulisan modul berkaitan gagasan RLA dan juga maqasid syariah yang membabitkan libat urus lebih 20 jabatan kerajaan setakat ini, saya sangat mengalu-alukan Ahmad Fadhli - dan sesiapa saja - agar menyatakan kesilapan atau kesalahan yang berlaku dalam gagasan RLA itu.

    Hal ini kerana sepanjang pembentangan, perbincangan dan perbahasan yang tersebut, saya tidak mendapat maklum balas daripada mana-mana pihak bahawa berlaku kesilapan atau kesalahan dalam konsep RLA yang dipelopori menteri di JPM.

    Dalam setiap kursus dan pembentangan, ramai peserta yang memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang masing-masing.

    Mereka bukanlah orang biasa-biasa yang hanya tahu menadah maklumat yang disuapkan oleh penceramah yang dilantik Jakim.

    Bagaimanapun saya tidaklah mendakwa bahawa menteri di JPM, Jakim atau saya sendiri tidak pernah melakukan kesalahan atau kekhilafan.

    Kami sangat terbuka kepada kritikan yang membina dan objektif yang menegur demi membetulkan kesilapan yang kami lakukan, jika ada.

    Apa yang kami sasarkan ialah mesej RLA yang merupakan inti ajaran Islam ini sampai kepada masyarakat melangkaui batas agama, kaum dan politik.

    Ia bertepatan dengan sokongan Agong dan ikrar perdana menteri. Tanpa menyatakan di mana kesilapan atau kesalahan konsep RLA itu, Jakim tidak boleh membuat pembetulan.

    Justeru diharapkan Ahmad Fadhli dan pasukan dari klusternya menyatakan secara terperinci akan kesilapan atau kekhilafan tersebut.


    ALI MUDA ialah pegawai tugas-tugas khas kepada Dr Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih