malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam ucapannya di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan, hanya orang Melayu yang boleh memulihkan maruah sendiri melalui kerajaan yang ada.

Ucapan itu penuh dengan gesaan agar kita bermuhasabah dan tidak menyalahkan orang lain apabila maruah Melayu dicabar.

Kata-kata Mahathir adalah mendalam, jauh daripada permainan menuding jari menyalahkan orang lain. Beliau menggesa orang Melayu bangkit sendiri.

Ada pepatah menyatakan: Jangan salahkan orang lain apabila anda dijatuhkan, tetapi salahkan diri sendiri apabila anda gagal untuk bangun semula.

Maruah Melayu adalah tentang kekentalan jiwa dan kesanggupan mendaki jalan yang sukar. Ia bukan soal menyalahkan orang lain, tetapi sepatutnya meneguhkan jiwa untuk bangkit lagi dan lagi, serta enggan mengaku kalah.

Maruah Melayu bukan milik mana-mana kelompok. Maruah Melayu ialah tentang kemurniaan jiwa meredah medan tempur dalaman yang berkecamuk di antara kekecewaan, rangsangan untuk bangkit dan mendambakan petunjuk.

Hanya dengan memahami rentak perjuangan bernama maruah, barulah orang Melayu mampu memulihkan maruah mereka.

Hayatilah Muhasabah Maruah Melayu yang diinspirasikan daripada ucapan perdana menteri itu:


Muhasabah Maruah Melayu

Apa maruah Melayu?

Siapa yang empunya angkara?


Apakah maruah Melayu dicabar?

Ataukah kita mencabar maruah sendiri?


Apakah maruah Melayu dinodai?

Ataukah kita menodai maruah sendiri?


Apakah maruah Melayu tergadai?

Ataukah kita menggadai maruah?


Apakah maruah Melayu tak dibela?

Ataukah kita rela tak dibela?


Apakah maruah Melayu tercalar kerana berpecah?

Ataukah kita berpecah demi maruah?


Apakah maruah Melayu dibenci?

Ataukah kita membuatkan orang membenci?


Apakah maruah Melayu dimusuhi?

Ataukah kita yang mencipta musuh?


Apakah maruah Melayu dipijak?

Ataukah kita memijak maruah sendiri?


Apakah maruah Melayu dihina?

Ataukah kita menghina maruah sendiri?


Apakah maruah Melayu tak dihormati?

Ataukah kita tidak menghormati maruah kita?


Lalu, apakah maruah Melayu?

Maruah Melayu adalah maruah kita!


DR MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah dan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen