malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Pada 13 dan 14 September 2019, PAS dan Umno secara rasmi melancarkan Muafakat Nasional di PWTC.

Perhimpunan yang menggabungkan musuh tradisi itu menyaksikan kedua-dua parti diwakili oleh keseluruhan pimpinan tertinggi parti masing-masing

Soalnya sekarang, adakah tindakan ini akan menjamin kejayaan kepada kedua-dua parti dalam pilihan raya umum yang akan datang?

PAS sudah pun mula kehilangan sokongan lama sebelum Muafakat Nasional, menurut Institut Darul Ehsan,

Malaysiakini pada 12 September lalu melaporkan:

Menurutnya keadaan itu ada kaitan dengan sikap penyokong dan pengundi PAS semasa PRU lalu.

"PAS kini hanya berjaya mengekalkan sokongan dalam kalangan kategori ahli-ahli tegar, sedangkan sokongan bagi kategori penyokong dan pengundi PAS pada PRU lalu mula menukar sikap terhadap parti tersebut," katanya.

Khairul Arifin menjelaskan ada tiga kategori untuk kumpulan yang memberikan sokongan PAS, iaitu ahli parti, penyokong dan pengundi.

Ahli PAS, katanya, merujuk kepada individu yang akan terus menyokong parti tersebut dalam apa jua keadaan.

Kedua, katanya, penyokong iaitu mereka yang bukan ahli PAS tetapi cenderung penyokong idealisme dan perjuangan parti tersebut.

"Ketiga, mereka bukan ahli atau penyokong PAS tetapi mereka mengundi parti tersebut atas sebab tersendiri atau tertarik dengan tawaran alternatif yang dikemukakan," katanya.

Dengan kata lain, IDE mengesahkan sokongan PAS sudah merosot lebih 50 peratus di Selangor sahaja berbanding PRU yang lepas.

Trend ini diyakini sama seluruh Malaysia, yakni separuh dari pengundi dan penyokong PAS telah pun meninggalkan parti tersebut.

Facebooker Asri Bakar mendakwa lebih 1,000 ahli-ahli PAS didakwa meninggalkan parti sejurus selepas perpaduan PAS dan Umno:

Kata beliau:

“Minggu lepas sahaja, di kawasan Damansara, terdapat lebih dari enam cawangan PAS yang telah dibubarkan. Begitu jugalah dengan Umno yang telah kehilangan lebih 1,000 keahlian mereka di sini.”

Contoh-contoh ini adalah bukti bahawa berlaku trend seluruh Malaysia akan kejatuhan sokongan kepada PAS yang begitu drastik.

Yang lebih membimbangkan adalah trend ini semakin berterusan dan tidak kelihatan akan surutnya,

Tipu pengundi hidup-hidup

Mari kita soal mengapa PAS berhempas pulas bertanding sendirian dalam PRU14 lepas?

PAS berhempas pulas berbohong menafikan ada hubungan antara mereka dan Umno sepanjang kempen PRU14.

Ini kerana mereka tahu pada masa itu majoriti ahli-ahli dan pendukung mereka tidak dapat menerima perpaduan dengan Umno.

Pimpinan-pimpinan PAS sedar mengadakan perpaduan sebelum PRU14 akan menyebabkan ramai pengundi dan penyokong PAS beralih kepada Amanah.

Namun, tidak sampai dua tahun selepas PRU14, perpaduan dengan Umno tiba-tiba menjadi kenyataan.

Pada waktu yang sama, majoriti pengundi dan pendokong yang mengundi PAS pada PRU14 seperti ditipu hidup-hidup.

Mereka masih ingat jaminan-jaminan yang diungkapkan oleh pimpinan-pimpinan PAS sebelum PRU14 lepas bahawa PAS tidak akan sekali-kali berpadu dengan Umno.

Hari ini, janji hanya tinggal janji.

Hasilnya ramai ahli-ahli dan penyokong PAS berundur secara senyap senyap. Mereka tidak melahirkan rasa kecewa mereka kerana takut dihukum kafir dan sebagainya.

Kawal kemerosotan sokongan

PAS tidak mampu mengawal kemerosotan ini kerana pihak yang meninggalkan PAS adalah pengundi dan penyokong. Mereka ini tidak dikawal oleh ulama-ulama PAS dan tidak menghadiri sesi "pembasuhan otak" secara berkala.

Mereka ini cuma menyukai agenda dan perjuangan PAS dari jauh sahaja. Mereka ini juga membenci dan menolak Umno.

Maka, golongan penyokong dan pengundi PAS ini bakal meninggalkan PAS beramai-ramai. Malahan, proses itu telah pun bermula.

Mereka ini sudah mula meninggalkan PAS secara senyap-senyap dan lebih ramai lagi akan meninggalkan PAS akibat merasa ditipu dan diperdaya.

Ini adalah satu faktor jelas bahawa penyatuan PAS-Umno bakal merugikan kedua-dua belah pihak akibat kejatuhan sokongan kepada PAS yang amat drastik.

Niat tidak ikhlas?

Masalah utama Penyatuan Ummah PAS-Umno ini adalah niatnya tidak ikhlas. Yang paling terserlah adalah hala tuju penyatuan tidak jelas. Ia untuk Islam atau Melayu?

Yang paling jelas adalah penyatuan ini hanyalah utk mendapat kuasa. Usaha pada tahun 2018 jelas gagal. Taktik yang dipakai jelas makan diri.

Taktik tiga penjuru diharapkan dapat menaikkan kadar bilangan kerusi campuran yang dimenangi telah menyebabkan kekalahan Umno dan PAS di seluruh negara kecuali di beberapa negeri sahaja.

Maka penyatuan ini terpaksa dilakukan kerana begitu desperado utk duduk semula di kerusi kuasa. Mereka tidak hirau janji yang mereka buat sebelum PRU14 lepas.

Mereka hanya memikir jangka masa pendek yakni mereka perlu mendapat semula dalam PRU15 sementara orang Melayu masih belum merasa selesa duduk di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Sekiranya PH mampu kekal dalam kuasa dalam PRU15 hadapan maka hayat Umno dan PAS akan pupus buat selama-lamanya.

Kelemahan pentadbiran

Tiada agenda jelas bagaimana hendak menaik taraf bangsa Melayu dan agama Islam. Malahan, Umno gagal melakukan kedua-duanya selama 60 tahun memerintah.

Apa gunanya meletakkan Umno semula setelah 60 tahun Umno gagal membangunkan orang Melayu secara umum?

Ini ditambah dengan rantaian skandal dan kes mahkamah yang melibatkan mantan-mantan pimpinan tertinggi Umno.

Kes-kes mereka sering menghiasi dada-dada akhbar saban hari menjadikan orang Melayu semakin jauh dari Umno. Kesan dari pendedahan-pendedahan ini dapat dilihat dari kehadiran majlis penyatuan ummah di PWTC.

Hadirin yang hadir kebanyakannya terpaksa diangkut dengan bas untuk memenuhi Dewan Merdeka PWTC dan sekitarnya.

Berbeza sekali dengan kehadiran perhimpunan protes Icerd tahun lepas yang kedatangan dianggarkan mencecah puluhan ribu tanpa kerahan dan dengan sukarela.

PAS juga jelas gagal mentadbir Kelantan sehingga terpaksa menagih bantuan kerajaan persekutuan semata-mata mahu membayar gaji kakitangan kerajaan.

Bagi penulis, itu petanda jelas PAS sudah gagal mentadbir negeri Kelantan Darul Naim.

Ini belum lagi dibincangkan kegagalan PAS merealisasikan manifesto-Manifesto mereka di Terengganu dan Kelantan yang sehingga sekarang hanya tinggal angan-angan.

Maka, sebelum kelemahan-kelemahan mereka menjadi ketara, diutarakan penyatuan ummah sebagai mengaburi mata orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Tidak sampai tiga hari selepas penyatuan ummah, Kelantan dan Terengganu menolak kemasukan Umno ke dalam barisan exco kedua-dua negeri.

Retak ini sebenarnya menunggu belah. Belah yang menunggu bakal belah yang dahsyat.

Bayangkan ini belum lagi masuk fasa membahagikan kerusi, sudah pun tampak keretakan hubungan kedua-dua parti ini.

Pembahagian kerusi nanti dianggap waktu yang bakal membuahkan keretakan. Faktanya adalah PAS bergantung kepada kerusi yang Umno juga bergantung, yakni di kerusi-kerusi majoriti Melayu (lebih 80 peratus Melayu).

Kerusi-kerusi ini adalah kerusi tradisi kedua-dua parti.

Maka, amat mustahil PAS dan Umno mampu mencapai kata sepakat di dalam membahagi-bahagi kerusi ini.

Juga, akhirnya Umno akan sedar mereka tidak memerlukan PAS lagi kerana mereka sudah ada MCA dan MIC sebagai rakan tradisi mereka.

Maka, kalau PAS masih berdegil dengan mudah Umno boleh membuang PAS.

Kalaupun tidak berlaku perpecahan secara terbuka, maka akan berlaku sabotaj dan tikam menikam secara senyap yang bakal melihat mana-mana parti yang bertanding akan kalah.

PAS biasa mensabotaj PKR sehingga PKR pernah kalah di beberapa kerusi PKR di Kelantan akibat sabotaj mereka.

Maka, tidak mustahil perkara yang sama akan dilakukan oleh PAS kepada Umno.

Pembahagian kerusi nanti, dilihat akan menyebabkan perpecahan di antara Umno dan PAS samada secara terbuka atau secara terpendam. Namun, perpecahan tetap akan berlaku.

Ditolak banyak parti

Penyatuan ummah PAS-Umno ini juga sudah ditolak banyak parti. Ia ditolak oleh GPS Sarawak (lapan parti), Gerakan dan juga PBS Sabah.

Rasanya tiada parti lain akan menyertai penyatuan ummah ini lagi menyebabkan ruang lingkup mereka sekadar di kawasan-kawan Melayu di Semenanjung Malaysia sahaja.

Ini bakal memberi kesan hampir PRU nanti di mana ramai orang Melayu akan menolak mereka akibat mereka dilihat tidak mampu menang.

Politik perkauman ekstrem mereka bakal ditolak oleh kaum Melayu dan Cina secara borong juga termasuk kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Penyatuan ini hanyalah marriage of convenience. Ia dibuat atas dasar survival kedua-dua parti yang jelas semakin hilang stamina.

Semakin lama perbicaraan Najib Razak dan beberapa individu profil tinggi, semakin ramai yang tawar hati dari kaum Melayu terhadap Umno dan PAS.

Parti-parti bukan Melayu dan parti-parti Bumiputera terang-terang menolak penyatuan ummah kecuali MCA dan MIC. PBS dan Gerakan yang dikira parti nyamuk pun menolak penyatuan ummah ini.

Sebelum pembahagian kerusi pun penyatuan ummah sudah retak. Maka, tampaknya pada PRU15 kelak akan berlaku belah yang amat tragis.


RAHMAN TALIB atau Tulang Besi adalah penulis blog di www.malaysiawaves.net.

Tulisan ini tidak semestinya menceminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen