malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Ladang besar tanam sejenis pokok saja ancam alam
ADS

September 21 adalah Hari Antarabangsa Perjuangan menentang Perladangan Monokultur Kayu, hari di mana gerakan masyarakat sivil dan komuniti di seluruh dunia memperingati penentangan ke atas perladangan monokultur kayu yang telah memusnahkan ekosistem dan mengancam komuniti.

Walaupun ianya dimulakan oleh komuniti yang terjejas oleh perladangan monokultur kayu di Brazil pada tahun 2004, kemusnahan ekosistem dan kesan-kesan sosial yang dicetuskan oleh apa juga jenis monokultur (ladang besar dengan penanaman sejenis pokok saja) yang besar adalah pada dasarnya sama sahaja, apa pun tanaman pilihannya.

Lebih dari sebulan, jerebu yang merentasi sempadan yang disebabkan oleh kebakaran hutan di Sumatra dan Kalimantan telah terus bertiup di Malaysia, Singapura dan Brunei, dan akhirnya telah tiba di Filipina pada minggu ini.

Perkara ini telah terus berlaku untuk lebih dari dua dekad. 

Di Brazil, hutan Amazon juga telah terbakar oleh sebab yang sama – kebakaran yang dicetuskan oleh pembangunan perladangan monokultur.

Sementara itu, kebakaran luar biasa telah turut berlaku di Siberia, Australia dan Artik, membuktikan bahawa kebimbangan tentang perubahan iklim tidak boleh lagi disangkal begitu sahaja.

Semalam, dan berterusan di hujung minggu ini, mogok tentang perubahan iklim terus dianjurkan di seluruh dunia, kebanyakannya dipimpin oleh anak-anak muda.

Apakah yang dapat kita pelajari dari semua ini?

Pertama, kita mesti sedar dari lena kita tentang fakta saintifik yang menunjukkan bahawa model ekonomi kita tidak lagi boleh digunakan. 

Ekonomi perladangan kayu monokultur adalah sebahagian dari sistem yang pincang ini.

Di banyak negara, ianya telah tiba dengan penjajahan, menebang bersih hutan dan ekosistem yang berharga yang lain, meracuni sungai dan tanah dengan racun perosak, tatkala para buruh yang diberi upah yang rendah, bekerja keras di dalam keadaan yang buruk dan tanah komuniti dirampas.

Hari ini, model perladangan monokultur penjajahan yang eksploitatif ini terus digunakan oleh syarikat-syarikat besar di seluruh dunia di negara-negara berdaulat.

Semenjak dari tahun 1990an, di Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea, kawasan-kawasan baru yang luas yang meliputi hutan dan malah, kebun-kebun komuniti, telah ditukar kepada perladangan monokultur korporat dengan pantas sekali, setelah industri pembalakan transnasional mula kehabisan sumber-sumber kayu balak semulajadi setelah beberapa dekad pembalakan berlebihan berlaku. 

Banyak dari kawasan hutan dan pertanian ini juga berada di bawah kawalan hak adat komuniti lokal.

Kedua, kita juga harus menerima hakikat apabila kita berbicara tentang kesan-kesan ekologi dari perladangan monokultur, keluasan mereka adalah pencetus segala permasalahan.

Akibat dari keluasan mereka dan ketiadaan kepelbagaian tanaman, dan diburukkan lagi oleh penggunaan racun yang tinggi, mereka boleh memberikan kesan yang amat buruk kepada hidrologi dan tanah-tanih setempat.

Makanya, kawasan tanah gambut boleh menjadi lebih kering, menyebabkan ianya mudah terbakar.

Ketiga, untuk melindungi hutan dan melaksanakan kaedah-kaedah pertanian dan pengeluaran makanan yang lebih lestari, hak komuniti tempatan dan para petani, termasuklah masyarakat orang asal, wajib diperkukuhkan.

Adalah jelas sekali kita perlu mengambil pendekatan baru berkenaan dengan pertanian dan hak komuniti dan petani, terutamanya dengan ketibaan perubahan iklim.

Perladangan monokultur besar-besaran bukanlah kebun kecil. Syarikat-syarikat besar bukanlah petani. 

Apabila lebih ramai lagi komuniti dan petani kehilangan akses ke atas wilayah mereka, lebih buruk lagi kemusnahan alam sekitar yang akan berlaku, dan lebih kukuh lagi kawalan korporat ke atas sumber pemakanan dan cara hidup kita.

Darurat iklim

Agroekologi dan kebun di bawah pengurusan komuniti dengan tanaman yang pelbagai adalah masa hadapan kita sebenarnya, jika kita berhasrat untuk memastikan anak-anak kita dapat menikmati sumber pemakanan dan alam yang mencukupi dan lestari dan alam sekitar yang selamat.

Setelah darurat iklim menjadi kenyataan kita pada hari ini, adalah salah dari segi moral untuk kita meneruskan segala aturcara perdagangan kita seperti biasa.

Sistem pertanian kita wajib diubah, jika kita mahukan manusia untuk memiliki keupayaan berhadapan dengan perubahan iklim.

Dunia wajib menghentikan kemusnahan yang dibawa oleh pembangunan perladangan monokultur besar-besaran. 

Komuniti dan petani wajib dibenarkan untuk menuntut semula hak mereka untuk memberikan dunia makanan, pakaian dan segala keperluan lain secara lestari, seperti menjadi kelazimannya sebelum zaman penjajahan.

Ini bukanlah persoalan tentang pilihan. Kita tidak ada pilihan lain lagi sebenarnya.

Seperti yang telah dinyatakan dengan tuntas oleh aktivis remaja perubahan iklim, Greta Thunberg, “tidak ada kawasan yang kabur apabila kita berhadapan dengan soal hidup atau mati.”


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen