malaysiakini logo
story-image
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada usaha untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 dijangka akan dibentangkan oleh pihak kerajaan.

Pindaan ini dilaporkan sebagai persediaan untuk negara ini menyertai Konvensyen International Union For The Protection of New Varieties of Plants (UPOV) 1991 dengan menyelaras undang-undang berkenaan menepati kehendak konvensyen tersebut.

Abim menilai penyertaan Malaysia dalam konvensyen UPOV adalah tidak jauh beza dengan penyertaan Malaysia ke dalam mana-mana triti atau perjanjian perdagangan antarabangsa.

Justeru, penyertaan Malaysia dalam perkara seperti ini sudah tentu akan melibatkan persoalan kepentingan dan kedaulatan negara. Maka, ia harus melibatkan rundingan dengan semua pihak secara meluas.

Abim bimbang dengan penyertaan Malaysia akan membuka kepada monopoli biji benih oleh syarikat atau badan asing apabila kita terikat dengan peraturan luar yang ditetapkan UPOV.

Selain itu, Abim juga khuatir terhadap masa depan petani tempatan termasuk golongan petani kecil apabila Malaysia menyertai UPOV.

Gambar hiasan

Mengambil contoh laporan Human Rights Impact Assessment (HRIA) UPOV ’91, batasan yang dikenakan UPOV terhadap penggunaan, pertukaran dan penjualan varieti tumbuhan dan biji benih akan menyukarkan petani tempatan mendapat akses kepada biji benih yang lebih baik dari sektor pertanian berdaftar dan seterusnya mengakibatkan petani boleh hilang punca pendapatan.

Dalam kajian kes di beberapa negara, peraturan UPOV ini mengakibatkan petani terpaksa membayar kos lebih empat kali ganda untuk mendapatkan biji benih kerana petani tidak lagi dibenarkan menggunakan cara konvensional bagi mendapatkan biji benih yang lebih berkualiti.

Menurut Seksyen 31(1)(e) Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004, pengecualian diberikan kepada petani dengan jelas kepada “apa-apa pertukaran bahan pembiakan dalam amaun yang munasabah di kalangan petani-petani kecil”.

Namun, sekiranya Malaysia ingin menyertai UPOV, maka dikhuatiri peruntukan ini akan dibuang untuk memastikan undang-undang Malaysia mengikuti piawaian dan peraturan yang ditetapkan UPOV.

Justeru, Abim menggesa agar semua pihak diberikan hak untuk dirunding sebelum apa-apa keputusan yang ingin dibuat kerajaan sama ada menyertai UPOV atau meminda undang-undang Malaysia untuk selaras dengan kehendak UPOV.




MOHAMAD RAIMI AB RAHIM ialah presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen