malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya meneliti alasan-alasan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek, berhubung penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Faktor utama penggabungan itu dikatakan kerana faktor pencapaian UMT yang tidak memuaskan, terutamanya kegagalan institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit mengetengahkan kursus maritim sebagai kursus rujukan di peringkat antarabangsa.

Seterusnya, Maszlee juga mewajarkan keputusan kerajaan dengan memberi alasan bahawa kebolehpasaran kerja bagi graduan universiti itu adalah rendah, di samping kedua-duanya mempunyai kursus dan profesor dalam bidang yang sama.

Kenyataan-kenyataan Maszlee itu menimbulkan banyak keraguan.

Tidak wajar perbandingan dilakukan melalui ranking universiti kerana usia penubuhan UMT perlu diambil kira.

Jika ranking menjadi punca, bukannya tidak wujud universiti-universiti yang berada di bawah UMT.

Sekadar persamaan kursus juga bukan alasan yang kukuh untuk satu penggabungan kerana universiti yang mempunyai kursus tujahan (niche) sendiri masih mempunyai kursus-kursus lain yang ditawarkan.

Ada protes berterusan

Alasan kebolehpasaran kerja pula hanya menunjukkan kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang graduan.

Paling tidak boleh diterima adalah apabila menteri sendiri menidakkan pencapaian UMT dalam bidang marin. Walhal, Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos) UMT diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) kluster Maritim kerana sumbangan dan kerjasamanya dengan universiti luar untuk pemfokusan bidang yang sama.

Di sebalik usia penubuhan yang masih muda, UMT juga diiktiraf badan profesional iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dalam bidang pengangkutan dan logistik maritim dengan penubuhan Pusat Pengangkutan dan Logistik Maritim (Maltrac) yang pertama di Malaysia.

UMT turut menubuhkan Pusat Pelayaran dan sedang giat membangunkan sebuah pelabuhan pengajaran (teaching port) dan Pusat Repositori Marin Kebangsaan.

Banyak lagi pencapaian UMT di peringkat antarabangsa yang menjadi kebanggaan warga IPT itu.

Saya percaya UMT sudah berada di landasan yang betul untuk terus cemerlang dan menjadi rujukan universiti-universiti lain.

Saya menyeru agar kerajaan menyemak balik keputusan yang dibuat kerana penggabungan dilihat bukan pilihan dan keutamaan pada masa ini.

Kerajaan boleh saja terus membantu memperkasakan kursus-kursus tujahan di UMT dan Unisza tanpa perlu kepada proses penggabungan yang memerlukan kos yang tinggi.

Ditambah dengan protes berterusan daripada ahli akademik, mahasiswa dan masyarakat setempat, proses yang tidak perlu ini akan menjadi rumit sekali untuk diselesaikan kerajaan dalam keadaan lebih banyak masalah rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan.


AHMAD AMZAD HASHIM ialah anggota parlimen Kuala Terengganu yang mewakili PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen